Sunday 11 November 2012

HOT NEWS : GITARIS ROCK DITAHAN DISYAKI TERLIBAT KES SAMUN


KUALA LUMPUR 9 Nov. - Seorang gitaris kumpulan rock popular era 90-an, bersama dua adik lelakinya diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Selayang Makmur dekat sini semalam, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun.

Turut diberkas dalam serbuan tersebut ialah seorang wanita berusia 36 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, polis bertindak menyerbu rumah tersebut selepas mendapat maklumat terdapat suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes samun berada di kediaman berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kita telah menangkap tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai aktif melakukan kegiatan samun sebelum ini.

"Suspek yang ditangkap ialah gitaris yang berusia 40 tahun, bersama dua adik lelakinya masing-masing berusia 35 dan 38 tahun serta seorang wanita berusia 36 tahun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut tangkapan semalam, Rosly berkata, polis yang menjalankan siasatan telah menemui dan merampas sebuah kereta Proton Exora berwarna hitam yang pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

"Selain itu, polis juga merampas dua kad Smart Tag dan Touch n Go dalam kereta tersebut, lima jam tangan pelbagai jenama, tiga bilah parang, sebuah kamera, satu cota besi boleh laras, 40 keping lagi kad Touch n Go, sebuah i-Phone model PK168 serta sebuah telefon bimbit jenama Nokia E71," katanya.

Rosly berkata, hasil soal siasat, suspek berusia 38 tahun mengaku terlibat dalam kes samun di Taman Melawati pada 31 Oktober lalu bersama seorang rakannya yang masih bebas.

Beliau berkata, suspek ditangkap juga didapati positif mengambil dadah dan mereka kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

sumber - utusan

No comments:

Post a Comment