KUCHING - Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, (gambar kecil) meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini pada pukul 1.45 pagi semalam akibat serangan jantung.
Sebelum itu, Kanang yang mengadu sesak nafas, rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya di Kampung Sungai Apong di sini kira-kira pukul 12 tengah malam.
Anak jati Sarawak yang dilahirkan di Julau pada 2 Mac 1945 dan dikenang kerana jasanya dalam menentang pengganas komunis itu meninggalkan balu Datin Brawang Chunggat serta lima anak.
Mendiang pernah mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Helen Latai Intie yang meninggal dunia akibat barah pada Januari 2011.
Kanang merupakan individu tunggal yang menerima dua pingat keberanian tertinggi negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Panglima Gagah Berani ketika masih hidup.
Dua pingat itu dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Ahmad Shah pada 3 Jun 1981 berikutan keberaniannya menentang pengganas komunis di Perak sekitar tahun 1980.
Bekas tentera berpangkat Pegawai Waran 1 itu berjaya membunuh lima anggota pengganas dan mencederakan seorang daripada mereka.
Berasal daripada komuniti Dayak (Iban), beliau merupakan anggota tentera Rejimen Renjer Diraja dan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada 24 September 2011, Kanang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
BRAWANG (kiri) ditenangkan oleh Panglima 1 Divisyen Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar atas kematian Kanang di Kuching semalam.
Wira negara yang terkenal dengan ungkapan 'Agi Hidup Agi Ngelaban' (Selagi Hidup Selagi Itulah Kita Berjuang) itu akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini pada Ahad ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Kanang atas pemergiannya
"Jasa mendiang kepada negara akan sentiasa dikenang," katanya dalam Twitternya semalam.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mendiang akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan Ahad ini.
"Upacara berkenaan akan dikoordinasi sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak.
"Kementerian Pertahanan akan membantu dalam mengadakan persiapan istiadat tentera," katanya.
-KOSMO