Wednesday 30 March 2016

Penyokong Kedah Tidak Mahu Jumpa Ahmad Bashah


Ultras Kedah belum sudi jumpa Ahmad Bashah

Berbekal prinsip "yang benar disokong, yang salah disanggah" penyokong bola sepak Kedah (Ultras Kedah) menolak bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah.

Jurucakap kelab penyokong itu berkata, pihaknya menerima undangan wakil Ahmad Bashah selaku presiden baru untuk mengadakan pertemuan tersebut bersama kelab penyokong lain.

Bagaimanapun katanya mereka menolak pertemuan itu buat masa ini kerana tidak menyenangi cara pelantikan Ahmad menggantikan Datuk Seri Mukriz Mahathir selaku menteri besar Kedah pada 4 Februari lalu.

"Mahu atau tidak, kami terpaksa menerima (pelantikan) walaupun hakikatnya cara itu (penyingkiran Mukhriz) jelas tidak disenangi rakyat Kedah.

"Kami juga menghargai usaha (pertemuan) itu, namun kami menolak sebarang perjumpaan buat masa ini," katanya.

Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah menggantikan Mukhriz yang didakwa hilang kepercayaan daripada majoriti wakil rakyat negeri itu.

Susulan itu, pentadbiran KFA turut berubah kerana secara tradisinya jawatan presiden dipegang oleh menteri besar, manakala Ahmad Bashah dilantik secara rasmi sebagai presiden KFA, 24 Mac lalu.

'Duta AS tak bercakap dengan Rosmah isu siasatan 1MDB'



Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menolak laporan mendakwa isteri perdana menteri Rosmah Mansor ada menghubungi Duta AS Joseph Y Yun dengan harapan untuk memberhentikan siasatan terhadap 1MDB.

Asia Sentinel dalam laporannya sebelum ini berkata mereka cuba mengesahkan perkara itu dengan kedutaan AS tetapi tidak berjawab.


Bagaimanapun, dalam e-mel kepadaMalaysiakini, pihak kedutaan berkata mereka tidak mempunyai rekod sebarang pertanyaan daripada Asia Sentinel berhubung perkara itu.




“Kami telah melihat laporan mendakwa isteri Perdana Menteri Najib menghubungi duta Yun beberapa kali.

“Kami tidak mengulas isu berkaitan perbincangan diplomatik, tetapi kami dapat sahkan bahawa duta Yun tidak bercakap berhubung isu ini dalam laporan Asia Sentinel dengan isteri perdana menteri (gambar),” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengkritik laporan itu yang menurutnya berdasarkan khabar angin.