Friday 4 January 2013

PAHLAWAN NEGARA MENINGGAL DUNIA


KUCHING - Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, (gambar kecil) meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini pada pukul 1.45 pagi semalam akibat serangan jantung.

Sebelum itu, Kanang yang mengadu sesak nafas, rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya di Kampung Sungai Apong di sini kira-kira pukul 12 tengah malam.

Anak jati Sarawak yang dilahirkan di Julau pada 2 Mac 1945 dan dikenang kerana jasanya dalam menentang pengganas komunis itu meninggalkan balu Datin Brawang Chunggat serta lima anak.

Mendiang pernah mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Helen Latai Intie yang meninggal dunia akibat barah pada Januari 2011.

Kanang merupakan individu tunggal yang menerima dua pingat keberanian tertinggi negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Panglima Gagah Berani ketika masih hidup.

Dua pingat itu dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Ahmad Shah pada 3 Jun 1981 berikutan keberaniannya menentang pengganas komunis di Perak sekitar tahun 1980.

Bekas tentera berpangkat Pegawai Waran 1 itu berjaya membunuh lima anggota pengganas dan mencederakan seorang daripada mereka.

Berasal daripada komuniti Dayak (Iban), beliau merupakan anggota tentera Rejimen Renjer Diraja dan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada 24 September 2011, Kanang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.


BRAWANG (kiri) ditenangkan oleh Panglima 1 Divisyen Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar atas kematian Kanang di Kuching semalam.


Wira negara yang terkenal dengan ungkapan 'Agi Hidup Agi Ngelaban' (Selagi Hidup Selagi Itulah Kita Berjuang) itu akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini pada Ahad ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Kanang atas pemergiannya

"Jasa mendiang kepada negara akan sentiasa dikenang," katanya dalam Twitternya semalam.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mendiang akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan Ahad ini.

"Upacara berkenaan akan dikoordinasi sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak.

"Kementerian Pertahanan akan membantu dalam mengadakan persiapan istiadat tentera," katanya.


-KOSMO

JERAITV : BEKALAN IKAN DI KEDAH KURANG

ALOR SETAR - Cuaca yang tidak menentu di Kedah sejak empat hari lepas menyebabkan bekalan ikan terutamanya ikan kembong berkurangan sehingga menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai.

Ishak Osman, 60, berkata, selain bekalan berkurangan, harga ikan turut melambung tinggi iaitu dari RM3 hingga RM4 sekilogram kepada RM6 hingga RM7 sekaligus membebankan orang ramai.

Katanya ada juga sesetengah peniaga di tempat lain terpaksa menjual ikan kembong pada harga RM10 sekilogram menyebabkan pelanggan beralih kepada makanan lain.

Ishak yang menjadi pelanggan tetap di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah berkata dia terpaksa berebut untuk mendapatkan sekilogram ikan kembong yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

"Kalau habis terpaksa tunggu nelayan balik dari laut baru boleh beli," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah dekat sini hari ini.

Tinjauan Bernama di pasar itu mendapati hasil tangkapan nelayan kurang menyebabkan bekalan ikan terputus dan orang ramai terpaksa menunggu serta berebut-rebut untuk mendapatkan ikan kembong. Pelbagai jenis ikan lain juga turut berkurangan.

Seorang nelayan Mohammad Mohd Azhar, 53, berkata dia dan nelayan pantai lain terpaksa ke laut dalam untuk menangkap ikan memandangkan ikan kembong dan ikan lain di pesisir pantai semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.

Dia berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan ada nelayan tidak ke laut selain terpaksa menanggung kerugian kerana tidak memperoleh hasil tangkapan ikan seperti sebelum ini.

"Sekali turun ke laut terpaksa guna minyak lebih RM60 sebab kena pergi ke laut dalam. Kami terpaksa letak harga ikan tinggilah sebab kos bahan api kami guna meningkat daripada sebelumnya iaitu RM30," katanya.

Dia berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut untuk menangani masalah kekurangan bekalan pelbagai jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna. - Bernama

UTARA NEWS : JUAL LAMBANG DIRAJA PALSU

Jual lambang Diraja palsu


ALOR SETAR - Penjualan lambang kereta palsu Persatuan Kerabat Diraja Kedah dikesan di negeri ini dengan menggunakan gelaran ahli bersekutu sejak akhir-akhir ini.

Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya berkata, satu-satu logo berkenaan dijual dengan harga sehingga RM5,000 dipercayai dari pasaran gelap.

Katanya, sindiket menjual lambang kereta palsu dipercayai licik dengan mengambil kesempatan menjualnya pada harga yang tinggi.

Tengku Zainol Rashid berkata, melalui satu operasi yang dilakuka, mereka berjaya mengesan seorang mangsa di Sungai Petani memakai lambang palsu dengan tertera lambang ahli bersekutu.

“Kita mula menjalankan operasi semenjak 30 Disember lalu setelah menerima banyak laporan berhubung penyalahgunaan lambang kereta palsu di beberapa kawasan dan sudah mengarahkan semua ahli bekerjasama terlibat dalam operasi berkenaan.

“Sekiranya ahli dapat mengesan ada kenderaan yang disyaki menggunakan lambang kereta palsu mereka akan mengambil gambar untuk dihantar kepada kita bagi memastikan status sebenar lambang itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lambang berkenaan sepatutnya mempunyai nombor keahlian persatuan dan hanya boleh digunakan oleh ahli persatuan sahaja, bukan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, bagi mengelakkan terus ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada dengan sindiket itu serta tidak mudah terpedaya.

Sementara itu, Tengku Zainol Rashid berkata, mereka juga dalam proses untuk mengemaskini maklumat sebelum membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan lambang kereta terhadap individu bukan ahli persatuan di negeri ini.

“Kita akan menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk diambil tindakan sewajarnya kerana tidak mahu perkara itu boleh menjejaskan imej Kerabat Diraja Kedah,” katanya.

-SINAR