Friday 4 January 2013

UTARA NEWS : JUAL LAMBANG DIRAJA PALSU

Jual lambang Diraja palsu


ALOR SETAR - Penjualan lambang kereta palsu Persatuan Kerabat Diraja Kedah dikesan di negeri ini dengan menggunakan gelaran ahli bersekutu sejak akhir-akhir ini.

Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya berkata, satu-satu logo berkenaan dijual dengan harga sehingga RM5,000 dipercayai dari pasaran gelap.

Katanya, sindiket menjual lambang kereta palsu dipercayai licik dengan mengambil kesempatan menjualnya pada harga yang tinggi.

Tengku Zainol Rashid berkata, melalui satu operasi yang dilakuka, mereka berjaya mengesan seorang mangsa di Sungai Petani memakai lambang palsu dengan tertera lambang ahli bersekutu.

“Kita mula menjalankan operasi semenjak 30 Disember lalu setelah menerima banyak laporan berhubung penyalahgunaan lambang kereta palsu di beberapa kawasan dan sudah mengarahkan semua ahli bekerjasama terlibat dalam operasi berkenaan.

“Sekiranya ahli dapat mengesan ada kenderaan yang disyaki menggunakan lambang kereta palsu mereka akan mengambil gambar untuk dihantar kepada kita bagi memastikan status sebenar lambang itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lambang berkenaan sepatutnya mempunyai nombor keahlian persatuan dan hanya boleh digunakan oleh ahli persatuan sahaja, bukan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, bagi mengelakkan terus ditipu mereka yang tidak bertanggungjawab, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada dengan sindiket itu serta tidak mudah terpedaya.

Sementara itu, Tengku Zainol Rashid berkata, mereka juga dalam proses untuk mengemaskini maklumat sebelum membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan lambang kereta terhadap individu bukan ahli persatuan di negeri ini.

“Kita akan menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk diambil tindakan sewajarnya kerana tidak mahu perkara itu boleh menjejaskan imej Kerabat Diraja Kedah,” katanya.

-SINAR

No comments:

Post a Comment