Ultras Kedah belum sudi jumpa Ahmad Bashah
Berbekal prinsip "yang benar disokong, yang salah disanggah" penyokong bola sepak Kedah (Ultras Kedah) menolak bertemu dengan Presiden Persatuan Bola Sepak kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah.
Jurucakap kelab penyokong itu berkata, pihaknya menerima undangan wakil Ahmad Bashah selaku presiden baru untuk mengadakan pertemuan tersebut bersama kelab penyokong lain.
Bagaimanapun katanya mereka menolak pertemuan itu buat masa ini kerana tidak menyenangi cara pelantikan Ahmad menggantikan Datuk Seri Mukriz Mahathir selaku menteri besar Kedah pada 4 Februari lalu.
"Mahu atau tidak, kami terpaksa menerima (pelantikan) walaupun hakikatnya cara itu (penyingkiran Mukhriz) jelas tidak disenangi rakyat Kedah.
"Kami juga menghargai usaha (pertemuan) itu, namun kami menolak sebarang perjumpaan buat masa ini," katanya.
Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah menggantikan Mukhriz yang didakwa hilang kepercayaan daripada majoriti wakil rakyat negeri itu.
Susulan itu, pentadbiran KFA turut berubah kerana secara tradisinya jawatan presiden dipegang oleh menteri besar, manakala Ahmad Bashah dilantik secara rasmi sebagai presiden KFA, 24 Mac lalu.