Sudah tiba masanya rakyat Malaysia mencabar kefahaman politik yang dianuti. Kita mesti melonjak ke hadapan sejauh mungkin untuk menyemai benih-benih pencerahan. Tanpa pencerahan, tanpa kesedaran usahlah bermimpi untuk keluar dari mahligai kebodohan ciptaan pemerintah.
Barisan pemodal, kaum pemerintah dan politikus mahukan kebodohan dilihat elok, sihat dan tidak berdosa. Kebodohan mesti dilihat sebagai keindahan di mata sekalian umat. Kebodohan mesti diimani supaya segala tindak-tanduk autoriti tidak dipersoal, tidak dicabar dan diakui adil sebagai sistem putaran kehidupan manusia sejagat.
Tidak semua perkara dapat diselesaikan melalui parti politik. Juga tidak semua masalah dapat diatasi dengan ucapan mendebarkan para politikus. Kita mesti benar-benar faham bahawa dalam sketsa politik Malaysia, era pemerintahan Najib yang terlondeh seribu satu macam mimpi ngeri tidak akan selesai apabila rakyat secara berbondong-bondong berdiri belakang Tun Dr Mahathir sebelum menggantikan Dato Seri Najib dengan bidak caturnya.
Sama ada perbalahan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan kelas elit pemerintah mahupun kalangan pembangkang, ia berlaku kerana sikap politikus unduk melindungi kuasa masing-masing dan bukanlah kerana mereka berlumba-lumba memberi kebaikan kepada rakyat sebagai kaum majoriti.
Oleh demikian, janganlah kita begitu naif diperbudak-budakkan. Cuaca politik Malaysia berada di dalam keresahan yang amat mendalam. Kejatuhan nilai ringgit, skandal 2.6 billion, perjanjian TPPA yang tidak transparen, GST, harga minyak yang tidak menentu dan namakanlah apa-apa saja, semuanya sudah berlaku dan entah apa lagi cerita korupsi yang bakal didedahkan esok.
Penentangan bermula dengan kesedaran massa. Kesedaran tidak bermakna dengan post makian di laman sosial semata-mata. Penentangan tidak dipotretkan dengan cara troll, mengumpul like, menekan butang share, kemudian bergelak ketawa dan berhenti setakat itu sahaja.
Di kala kebanyakan ilmuwan, golongan intelektual dan kaum agamawan yang tidak berpihak kepada masyarakat, masyarakat sendirilah yang perlu berfungsi. Menjadi tugas masyarakat untuk mendidik masyarakatnya sendiri.
Pencerahan perlu untuk menyedarkan orang ramai supaya bergerak bersama massa. Anak-anak muda, kaum pekerja mesti duduk berbincang, berpakat, dan bekerjasama rangka tindakan radikal bagi mencabar hegemoni politik pemerintah UMNO-BN ini. Kita perlukan lebih ramai penglibatan rakyat dalam membawa aspirasi kaum majoriti. Kesedaran, pencerahan dan alternatif kepada sistem sedia ada mesti terus menerus ditukangi.
Permasalahan pemerintah yang sedang nazak ini mesti diubati dengan solusi yang jelas. Masyarakat mesti berani melibatkan diri membentuk perubahan dalam kemelut demokrasi, sosial, dan ekonomi negara.
Perkara inilah yang gagal diselesaikan oleh parti politik. Kesedaran atas krisis yang berlaku adalah perkara yang mesti dipupuk. Semoga dokongan anak-anak muda, rakyat biasa, kaum pekerja akan membawa gerakan demokrasi yang lebih ampuh dalam memberi tekanan kepada pemerintah selain dari tujuan utama iaitu menarik lebih ramai masyarakat membakar sumbu penentangan ! Lawan tetap lawan !
\\\\\\\\\\ The HOPE //////////
No comments:
Post a Comment