SYED Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau ditawarkan RM5 juta oleh "penasihat kanan perdana menteri" untuk meninggalkan parti Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.
Ketua sayap pemuda Bersatu itu berkata, tawaran RM5 juta berkenaan dibuat oleh "rangkaian sistematik dedak" yang dirancang penasihat kanan terbabit.
"Semua ini dirancang oleh penasihat kanan (Perdana Menteri) Najib Razak.
"Saya ditawarkan RM5 juta untuk tinggalkan Bersatu dan mengambil biasiswa ke Universiti Oxford.
"Saya tidak akan tinggalkan Bersatu dan akan terus di sini mendedahkan rangkaian sistematik dedak ini," katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Jelas Syed Saddiq, umpan RM5 juta itu termasuk geran untuk mendirikan sekolah debat di seluruh Malaysia.
Ditanya mengenai bukti tawaran umpan itu, Syed Saddiq berkata, beliau bukan cakap kosong kerana ada semua bukti operasi rangkaian yang disebutnya itu.
"Tentang tawaran dedak itu saya telah berbincang dengan peguam saya, kita mungkin akan melaporkan kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia."
Beliau turut menamakan penasihat kanan perdana menteri yang membuat tawaran sogokan RM5 juta itu. The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan komen daripada pegawai kanan itu.
Syed Saddiq juga mendakwa "rangkaian sistematik dedak" itu juga menjadi dalang yang sebelum ini menghubungi beberapa pemimpin Bersatu yang sudah meninggalkan parti itu.
"Sejak dari tahun lepas lagi rangkaian ugutan dan sogokan ini sudah dipratikkan. Ia bermula dengan ugutan melemahkan status kewangan individu tersebut, kemudian mereka juga menyerang orang terdekat seperti ahli keluarga dan sahabat handai."

