Monday, 15 April 2013

AMARAN!!!Jangan cabar kedaulatan negara

SEMPORNA 14 April - Ops Daulat yang dilaksanakan bagi menghapuskan pengganas Kiram baru-baru ini seharusnya menjadi isyarat jelas kepada pihak luar bahawa Malaysia tidak akan bertolak-ansur dengan tindakan mereka yang cuba mencabul kedaulatan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, meskipun jumlah pengganas yang mendarat di Lahad Datu tidak lebih 200 orang, serangan yang dilakukan oleh pihak keselamatan negara adalah secara habis-habisan.

Menurutnya, dengan kekuatan hampir 4,000 anggota tentera dan meliputi pelbagai aset tempur pertahanan negara, sudah cukup memberi mesej jelas yang Malaysia tidak pernah memandang mudah tindakan pihak luar yang cuba mencabul kedaulatan dan menggugat keselamatan rakyat.

Katanya, misi yang pada mulanya menjaga keselamatan negara telah berubah menjadi isu mempertahankan negara, malah satu aset besar pertahanan negara digembleng bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi strategik Lautan Biru Nasional untuk menangani isu pencerobohan di Lahad Datu.

"Kita hendak tunjukkan yang Malaysia tidak pernah memandang rendah berhubung isu keselamatan negara dan segala yang dilakukan di lokasi kejadian itu seharusnya menjadi mesej kepada pihak luar jangan sesekali berani mencabar kedaulatan negara ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas memberi penerangan berhubung keselamatan pantai timur Sabah kepada orang ramai dan sesi beramah mesra bersama masyarakat Cina di daerah ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Mengulas lanjut, Zulkifeli berkata, walaupun Ops Daulat yang akan diserahkan secara berperingkat-peringkat kepada petugas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), pihak tentera masih berada di kawasan yang pernah menjadi sasaran pihak penceroboh.

Katanya, ketika proses penstabilan dilaksanakan oleh pihak keselamatan negara dalam Ops Daulat pada masa ini, jumlah keanggotaan tentera akan dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Namun bagi memberi keyakinan kepada masyarakat, beliau berkata, satu perbincangan bersama Ketua Polis Negara akan dilakukan bagi membolehkan rondaan melibatkan polis dan anggota tentera pada waktu malam.

Jelasnya, tindakan itu dibuat bukan kerana ada ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya demi meyakinkan orang ramai terhadap jaminan keselamatan yang diberikan.

"Saya juga akan menempatkan sebilangan anggota tentera di Semporna demi meyakinkan penduduk di sini terhadap jaminan keselamatan setelah berlaku kejadian tidak diingini di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment