Sunday, 14 April 2013
PANAS!!!PRU-13: Pembangkang 'mabuk' dengan retorik angka
AGAKNYA sudah jadi tabiat pembangkang dengan meletakkan gambar hadirin yang datang dalam setiap ceramah mereka di laman sosial mahupun blog sebagai tindakan terdesak, kononnya mereka kini semakin popular berbanding Barisan Nasional (BN).
Tetapi, jangan tertipu dengan jumlah angka yang dinyatakan itu kerana ia bukan menunjukkan sokongan sebenar pengundi kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, kerana lebih ramai yang tidak hadir dan senang duduk di rumah sebenarnya sudah bersedia untuk mengundi BN.
Mereka mahu tulis apa pun boleh, termasuk menyatakan orang Melayu di Melang dekat sini sudah menyokong mereka melalui apa juga slogan, motto dan visi yang hendak disampaikan tetapi hakikatnya perlu diketahui yang datang itu juga sekadar mahu berhibur mendengar caci-maki dan tohmahan yang dilontarkan oleh pemimpin pembangkang itu terhadap UMNO dan BN.
Percayalah, ada orang yang datang itu mahu mendengar penjelasan daripada pemimpin pembangkang yang hadir itu berhubung penyebaran video seks individu mirip salah seorang pemimpin kanan Pas.
Malah ada juga yang datang itu mahu mendengar penjelasan mengenai isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP yang kini berhadapan tindakan tegas pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), begitu juga isu moral dalam kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Malangnya semua itu tidak diceritakan oleh pemimpin pembangkang yang berceramah di Melang, dekat Kuala Pilah malam tadi, sebaliknya pengunjung dibawa bertepuk tangan dan berseronok apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercerita kisah lama yang tak pernah berubah antaranya rasuah, 'lembu', kroni, tindas rakyat yang mana kesemuanya itu diletakkan di bahu UMNO dan BN.
Maka apa hendak dikisahkan sangat kalau pun mereka menyebut yang datang itu 100,000 orang atau satu juta orang kerana pengundi tegar BN yang sedang berehat di rumah adalah lebih ramai daripada angka yang ditulis mereka, sehingga membuatkan pemimpin pembangkang merasa boleh tidur nyenyak.
Persepsi angka ini adalah elemen kegemaran parti pembangkang lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin DAP, yang seronok memaparkan jumlah kehadiran seolah-olah 'dunia ini mereka yang punya' sedangkan penjadualan undi dalam pemilihan CEC parti sendiri pun mereka boleh silap.
Hakikat sebenar, pembangkang hari ini tahu bahawa mereka sebenarnya tidak mampu untuk memperdaya rakyat 100 peratus untuk mempercayai mereka.
Rakyat hari ini tahu dan selesa betapa BN sudah banyak berjasa kepada mereka dan hanya segelintir yang terlalu taksub dan percaya dengan pemimpin pembangkang akan tetap membuat tohmahan, kecaman dan kejian terhadap keihklasan BN mensejahterakan hidup rakyat.
Oleh itu, nampak gayanya persepsi angka ini sudah menjadi sebahagian 'tasbih' pembangkang dan esok atau lusa, mereka akan menunjukkan pula angka yang lebih besar dengan peta Malaysia ini diwarnakan dengan warna mengikut 'roket' yang sedang menuju ke bulan, sementara 'mata' terbeliak memerhatikannya.
Biarpun pelbagai angka yang ditulis pemimpin pembangkang dalam blog dan laman sosial lain untuk menyatakan kehadiran penyokong yang ramai itu, hakikatnya jumlah sebenar gagal mereka bentangkan kerana tida sebarang rekod kedatangan diambil daripada penyokong.
Malahan, tidak diketahui juga adakah yang hadir itu semuanya datang dari Kuala Pilah atau lebih ramai penyokong yang datang berduyun-duyun melalui jalan baharu Bukit Putus dengan jambatan kedua tertinggi di Malaysia (48 meter), satu projek kerajaan BN.
Sepatutnya Anwar dan pemimpin pembangkang yang lain datang ke Kuala Pilah tahu berterima kasih dengan kerajaan BN kerana adanya jambatan itu yang membolehkan penyokongnya turut serta dalam ceramah di Melang, malam tadi.
Justeru, janganlah terlalu 'mabuk angka' kerana ia tidak menunjukkan langsung sokongan rakyat negara ini terhadap pembangkang dan eloklah dihentikan permainan retorik dan menumpukan kepada manifesto yang dijanji pada tahun 2008 sebelum berlagak untuk bercakap soal manifesto pembangkang pada PRU-13 ini. - UTUSAN ONLINE
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment