Showing posts with label GUAN ENG. Show all posts
Showing posts with label GUAN ENG. Show all posts

Saturday, 22 December 2012

WARTAWAN DIPUKUL KETIKA MEMBUAT LIPUTAN !!

GEORGETOWN - Seorang wartawan akbar berbahasa Cina cedera di muka apabila ditumbuk seorang lelaki ketika membuat liputan berita mengenai kehilangan tiga lelaki dan tiga wanita yang mendaki bukit di Bukit Bendera di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Choo Kar Chun, 30, dari akhbar Kwong Wah Yit Poh berkata, dia sedang mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat mangsa secara tiba-tiba datang seorang wanita yang dipercayai ahli keluarga mangsa pendaki yang hilang cuba menghalangnya melakukan tugas.

Kar Chun berkata, wanita berkenaan bertindak merampas kameranya dan memberi amaran supaya dia tidak mengambil gambar kesemua mangsa yang sedang diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Berang dengan tindakan wanita itu, Kar Chun cuba mendapatkan kembali kameranya dan turut memberi amaran supaya tidak menghalangnya menjalankan tugas.

“Selepas saya mendapatkan kembali kamera daripada perempuan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki menghampiri dan bertindak menumbuk muka saya bertubi-tubi.

“Dia turut mengugut akan mencederakan saya sekiranya saya terus berdegil dan mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Akibat kejadian itu, Kar Chun berkata, dia mengalami cedera ringan dan calar di bahagian muka dan tangan.

Bimbang akan keselamatannya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus petang kelmarin.

Kar Chun berkata, sebagai wartawan yang ditugaskan membuat liputan kejadian berkenaan, dia seharusnya mendapatkan pelbagai gambar operasi dan menyelamat mangsa untuk dikongsi dengan pembaca.

Menurutnya, ia adalah pengalaman pertamanya dipukul setelah enam tahun berkerja sebagai wartawan.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Ismail berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sunday, 9 December 2012

PANAS !! DAP BERANG ISU KHALWAT DI KELANTAN ??

Lim Guan Eng

SHAH ALAM - DAP khuatir tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB- BRI) mengeluarkan saman berhubung kesalahan 'khalwat' ke atas dua pasangan, masing-masing di lokasi awam berhampiran lapangan terbang dan taman baru-baru ini, boleh menjejaskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, meskipun notis saman yang dikeluarkan berkaitan dengan kelakuan 'tidak senonoh', parti-parti musuh PR dan media mereka sudah mula memutarbelitkan tindakan majlis itu sebagai kes khalwat dan kononnya cuba mengenakan undang-undang Islam ke atas bukan Muslim.

Ia kontroversi kedua dalam tempoh kurang sebulan ini membabitkan bukan Islam dan majlis itu.

"Jika Kerajaan Pas Kelantan gagal bertindak ke atas pihak-pihak mensabotaj dalam MPKB-BRI, yang mengeluarkan saman ke atas pasangan bukan Islam berhubung kelakuan tidak senonoh, ini secara tidak langsung akan memperlekehkan mesej PR yang menghormati kebebasan beragama dan akan menjejaskan kerjasama yang sedia wujud dalam PR," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan muka depan mengenai kontroversi terbaru ini dibawa oleh akhbar harian hari ini.

Akhbar terbabit memetik Ketua Pemuda MCA Kelantan, Gan Han Chuan berkata, pegawai MPKB-BRI bertindak keterlaluan dengan cuba mengenakan 'hukum hudud' ke atas bukan Islam.

"Ini kali pertama dalam sejarah bukan Islam diberi saman atas kesalahan khalwat," katanya.

Salah satu pasangan, berusia 30-an, dikenakan saman semasa berada dalam kereta di tepi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada waktu malam manakala pasangan yang lain, berusia 17 dan 15 tahun, berada di Taman Tengku Anis pada siang hari.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw pula berkata, kedua-dua mangsa lelaki mendakwa pegawai-pegawai yang menahan mereka meminta wang RM500 untuk menyelesaikan kes mereka.

"Dengan jelas, pegawai-pegawai majlis menyalahgunakan kuasa mereka dan tindakan segera diperlukan untuk membersihkan nama Kerajaan Negeri Kelantan, yang bebas dan bersih daripada amalan rasuah, dan daripada kebimbangan bahawa hak bukan Islam tidak dihormati dengan penguatkuasaan undang-undang Islam," katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau sudah menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang menjanjikan bahawa akan berhubung dengan Kelantan dan menyelesaikan perkara tersebut.

"Saya ada memberitahu Datuk Mustafa tentang keperluan melihat isu ini dengan serius bagi mengelakkan kepercayaan bersama dan kerjasama kuat dalam PR yang sedia terjalin terjejas.

"Saya juga telah mengarahkan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Liew Chin Tong agar berkomunikasi dengan kepimpinan Pas bagi mencapai penyelesaian segera dalam isu-isu berkaitan dengan dakwaan bahawa bukan Islam tertakluk kepada undang-undang Islam," katanya lagi.

SUMBER : SINAR HARIAN