GEORGETOWN - Seorang wartawan akbar berbahasa Cina cedera di muka apabila ditumbuk seorang lelaki ketika membuat liputan berita mengenai kehilangan tiga lelaki dan tiga wanita yang mendaki bukit di Bukit Bendera di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Choo Kar Chun, 30, dari akhbar Kwong Wah Yit Poh berkata, dia sedang mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat mangsa secara tiba-tiba datang seorang wanita yang dipercayai ahli keluarga mangsa pendaki yang hilang cuba menghalangnya melakukan tugas.
Kar Chun berkata, wanita berkenaan bertindak merampas kameranya dan memberi amaran supaya dia tidak mengambil gambar kesemua mangsa yang sedang diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Berang dengan tindakan wanita itu, Kar Chun cuba mendapatkan kembali kameranya dan turut memberi amaran supaya tidak menghalangnya menjalankan tugas.
“Selepas saya mendapatkan kembali kamera daripada perempuan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki menghampiri dan bertindak menumbuk muka saya bertubi-tubi.
“Dia turut mengugut akan mencederakan saya sekiranya saya terus berdegil dan mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Akibat kejadian itu, Kar Chun berkata, dia mengalami cedera ringan dan calar di bahagian muka dan tangan.
Bimbang akan keselamatannya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus petang kelmarin.
Kar Chun berkata, sebagai wartawan yang ditugaskan membuat liputan kejadian berkenaan, dia seharusnya mendapatkan pelbagai gambar operasi dan menyelamat mangsa untuk dikongsi dengan pembaca.
Menurutnya, ia adalah pengalaman pertamanya dipukul setelah enam tahun berkerja sebagai wartawan.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
Ismail berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.
“Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment