Sunday 9 December 2012

HAMAS : SAMBUTAN KE - 25 TAHUN PERTUBUHAN




GAZA CITY 8 Dis. - Beribu-ribu penduduk Palestin berhimpun di Gaza hari ini bagi menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan pertubuhan Hamas yang turut dihadiri pemimpin Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal.

Ini merupakan lawatan pertama Khaled Meshaal, yang tiba dari Mesir, semalam ke Gaza dan wilayah Palestin sejak 1975.

Sambutan itu diadakan dua minggu selepas gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir yang menamatkan serangan lapan hari tentera Israel ke atas Gaza mengorbankan 174 penduduk Palestin.

Hujan renyai-renyai yang membasahi bumi Gaza pada sebelah pagi tidak menghalang beribu-ribu penduduk Gaza kebanyakan mereka wanita berkumpul sebelum upacara utama bermula pada sebelah tengah hari di Kompleks Al-Qatiba di barat Gaza City, lapor wakil AFP.

Berpuluh-puluh anggota sayap keselamatan Hamas yang bertopeng daripada Briged Ezzedine al-Qassam ditempatkan di bumbung- bumbung bangunan bagi mengawal keselamatan.

Dua kerusi kosong ditempatkan di atas pentas utama sebagai memperingati pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin, yang dibunuh tentera Israel pada 2004, dan komander tentera Hamas, Ahmed Jaabari, yang dibunuh oleh Israel pada 14 November lalu.

Ketua Publisiti Hamas, Ashraf Abu Zaed berkata, lebih 200,000 penduduk Palestin menyertai sambutan itu.

Ketika berucap Khaled Meshaal berjanji "untuk mencapai perdamaian, menghapuskan perpecahan (dengan Fatah) dan mengukuhkan perpaduan (penduduk Palestin) bagi membentuk satu pasukan bersatu menghadapi Zionis Israel. - AFP

No comments:

Post a Comment