Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Sunday, 9 July 2017

'Apa sudah jadi padamu Malaysia?'



Apa yang telah berlaku kepada negara yang saya hormati? Sebuah negara yang dahulunya saya bangga untuk memanggilnya sebagai rumah saya.

Sebuah negara yang saya berdoa untuk kestabilan. Apa yang telah berlaku kepada sahabat kesayanganku, Malaysia?

Saya berharap suatu hari nanti, anda akan kembali pulih.

Pada hari ini saya berada di sebuah negara di mana rasuah telah menjadi sebuah budaya. Sebuah negara di mana media melindungi rasuah dan menjadikan orang yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk menjual cerita.

Orang yang kurang berpendidikan sentiasa ditipu, dimanipulasi oleh sistem dan diperas. Ia telah menjadi tempat di mana orang kaya semakin kaya manakala orang miskin semakin miskin.

Sebuah tempat di mana rakyat tidak lagi menilai dengan fakta, tetapi menghakimi berdasarkan persepsi tentang apa seseorang memakai atau katakan.

Di mana yang berlakon dan individu yang hipokrit dipuji sebagai hero, manakala yang pemberi sumbangan dan mereka yang berdedikasi kepada yang baik diabaikan dan dianggap sebagai penjahat.

Dimanipulasi oleh gambar-gambar yang mereka lihat.

Monday, 17 December 2012

SLOT HIBURAN : SRK MAHU SEPERTI TUN M



SRK mengaku dia mahu mempunyai pemikiran luar biasa seperti yang dimiliki oleh Tun Mahathir. Dia begitu mengagumi Tun Mahathir.


WALAUPUN sudah berusia 87 tahun, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi idola kebanyakan rakyat Malaysia. Jasa beliau selama 20 tahun mentadbir negara sentiasa dikenang oleh masyarakat.

Demi menghargai jasa Tun Mahathir yang merupakan salah seorang pelanggan setia butik mereka, Lord's Tailor telah mengadakan sebuah majlis ulang tahun yang dihadiri oleh 200 tetamu VVIP dan selebriti di Hotel Le Meridien, KL Sentral, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu.

Selain itu, pihak Lord's Tailor juga membuat kejutan kepada Tun Mahathir dengan membawakan aktor tersohor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan sebagai 'hadiah' kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu.

Sementara menunggu kehadiran Shah Rukh Khan, majlis diserikan dengan persembahan penyanyi kegemaran Tun Mahathir, Datuk Yusni Hamid serta Amanda Imani dan seorang penyanyi India, Dr. Burns sebagai pembuka tirai majlis tersebut diiringi muzik Datuk Mokhzani Ismail.

Shah Rukh Khan yang tiba sejam selepas majlis bermula terus memberi penghormatan kepada Tun Mahathir dengan menyanyikan lagu Happy Birthday dan Kuch Kuch Hota Hai yang katanya khas buat mentornya itu.

“Saya amat mengagumi Tun Mahathir dan beliau merupakan mentor serta inspirasi terbaik buat diri saya.

“Sejak mengenali beliau 15 hingga 20 tahun lalu, saya sentiasa mencuba untuk mempunyai pemikiran luar biasa sepertinya dan mengikut falsafah yang dimiliki beliau.

“Mereka (Tun Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah) juga sangat sukakan saya, jadi saya tidak boleh menolak dan perlu juga berada di sini untuk menyambut majlis ulang tahun yang ke-87 beliau.

“Paling penting, saya juga mahu mengambil restu dari mentor yang juga rakan baik saya ini,” ujar bintang tersohor Bollywood yang mendapat gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka beberapa tahun lalu itu penuh teruja.

SRK mendendangkan lagu Kuch Kuch Hota Hai khusus buat Tun Mahathir.


Shah Rukh Khan yang juga digelar SRK membuka rahsia, setiap tahun, dia pasti tidak akan ketinggalan dan meluangkan masa untuk bertemu Tun Mahathir beberapa kali setahun.

Sementara itu, sepanjang majlis berlangsung, Tun Mahathir sentiasa mengukir senyuman dan kelihatan gembira.

Beliau juga amat berterima kasih di atas kehadiran aktor tersebut serta tetamu yang sudi hadir meraikan hari ulang tahunnya yang jatuh pada 10 Julai lepas.

“Terima kasih kepada Shah Rukh Khan yang sudi meluangkan masa terbang dari London untuk bersama-sama raikan majlis ulang tahun ini,” ujarnya.

Tun Mahathir kemudian secara berseloroh memberitahu: “Saya ingin berkongsi rahsia untuk sentiasa kekal muda. Sambutlah ulang tahun dua kali setahun seperti saya.

“Secara tidak langsung juga, anda akan dapat banyak hadiah dan saya berterima kasih kepada bapa saya kerana dia telah fikirkan perkara ini secara ke hadapan.”

Antara tetamu selebriti yang turut meraikan ulang tahun idola kesayangan ramai tersebut ialah Datin Paduka Umie Aida dan suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Esma Daniel dan isteri, Eja dan suami, Sofea Jane dan Fizz Fairuz.

lanjut : kosmo

Thursday, 13 December 2012

HAMAS LANTIK PRESIDEN KP1M SEBAGAI DUTA KEHORMAT PALESTIN


GAZA CITY - Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik oleh kerajaan Hamas sebagai 'duta kehormat' untuk Palestin.

Abdul Azeez yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Sabtu lalu, dilantik dalam satu upacara rasmi di Universiti Islam Gaza dan watikah
pelantikan disampaikan Ketua Pengarah Kementerian Luar Hamas, Mahmoud El-Hadour, semalam.

Pelantikan itu dimaklumkan sendiri kepada Abdul Azeez oleh Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh berikutan persetujuan sebulat suara jemaah kabinet Hamas yang bermesyuarat selepas kunjungan hormat Abdul Azeez dan 58 anggota sukarelawan ke atas Ismail kelmarin.

"Saya bersyukur, ini semua kerana mereka menyanjung tinggi kepimpinan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan nama Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka sekian lama tidak lekang di bibir mereka, dan juga Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai perdana menteri terdahulu," katanya kepada pemberita.

Antara skop tugasan beliau sebagai duta kehormat seperti tertulis di watikah pelantikan itu ialah menyampai dan memperjuang nasib rakyat Palestin melalui program-program yang sesuai.

Menurut Abdul Azeez, berita baik itu telah disampaikan kepada Najib yang mengucapkan tahniah atas pengiktirafan itu.

"Insya-ALLAH bantuan susulan akan kami laksanakan dalam masa terdekat. Saya akan balik dan bertemu perdana menteri serta Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman) untuk minta pandangan dan nasihat bagaimana tindakan susulan boleh kita lakukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya segala perbezaan politik diketepikan dalam menjayakan misi bantuan kepada rakyat Palestin yang merupakan saudara sesama Islam.

Misi bantuan kemanusiaan anjuran KP1M dan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia yang membawa bantuan berjumlah US$1.5 juta (RM4.5 juta) itu berakhir hari ini di Gaza dan akan bergerak ke Kaherah, Mesir untuk menyampaikan bantuan di sana.

Semua anggota sukarelawan itu dijangka menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia malam esok. - Bernama

Wednesday, 12 December 2012

SUKAN : AFF SUZUKI MALAYSIA KEMUKAKAN BANTAHAN - LAYANAN KELAS KETIGA


Pemain kebangsaan menjalani latihan di sebuah padang awam yang kurang sempurna di Bangkok, semalam sebagai persediaan untuk separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok.

BANGKOK - Belum pun berdepan ujian sebenar, Harimau Malaya menempuh dugaan awal daripada tuan rumah, Thailand untuk aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF esok, apabila diberikan layanan kurang memuaskan kerana terpaksa mengadakan sesi latihan di padang yang kurang sempurna.

Padang latihan yang disediakan bukan sahaja tidak rata, malahan tiang golnya juga patah.

Padang berkenaan turut digunakan orang awam untuk bermain bola sepak dan terletak bersebelahan laluan kereta api aliran ringan (LRT).

Suasana yang dihadapi pemain mengundang dukacita pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal kerana menganggap ia layanan kurang mesra ketika Malaysia merangka strategi untuk separuh akhir kedua dengan Thailand esok.

"Saya amat terkejut dengan layanan tuan rumah dan telah mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak ASEAN dan Persatuan Bola Sepak Thailand (FTT) mengenai padang latihan yang disediakan.

"Kami hanya diberikan padang awam yang turut digunakan oleh orang biasa. Keadaan rumput juga berbahaya untuk pemain menjalani latihan secara insentif kerana bimbang mendapat kecederaan.

"Ini menyukarkan jurulatih, Datuk K. Rajagobal melakukan perancangan taktikal petang ini kerana tempat latihan yang terlalu terbuka.

"Malahan kemudahan untuk menyalin baju pun tiada, cukup sedih apabila diberi layanan sebegini, seolah-olah tiada tanda rasa hormat kepada kami," katanya ketika ditemui di padang latihan Jalan Buraprat, di sini semalam.

Pada sesi latihan sulung itu, para pemain hanya mampu melakukan latihan ringan dengan penggunaan separuh padang sahaja ekoran digunakan oleh orang awam.

Malahan, kereta melalui tepi padang terbabit semasa latihan, yang menunjukkan padang itu memang tidak sesuai bagi latihan bagi sebuah pasukan bola sepak bertaraf kebangsaan.

Menurut Subahan, layanan tersebut memang tidak adil kerana semasa separuh akhir pertama di Kuala Lumpur, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan layanan sebaik mungkin kepada Thailand sebagai tetamu.

"Jika di Malaysia, kami boleh memberikan layan sebaiknya dengan hotel bertaraf lima bintang di samping kawalan keselamatan pihak polis sepanjang masa.

"Mereka juga mendapat kemudahan latihan secara tertutup di Kompleks Sukan Maybank, Bangi dan kita memenuhi segala keperluan yang dikehendaki.

"Namun, apabila kita sampai di sini... adakah kita mendapat layanan yang sama?," soalnya.

Perkara sama diluahkan Rajagobal yang tidak menjangka situasi itu berlaku dan berasa kecewa kerana tidak dapat menilai pemain yang baru pulih daripada kecederaan.

"Saya tidak boleh nafikan ini merupakan satu bentuk gangguan kepada persiapan kami tetapi tidak mahu fikirkan perkara ini terlalu serius, kita kena anggap ini satu cabaran sebelum berdepan Thailand," katanya

HOT NEWS : KETUA WANITA MCA TERIMA SMS LUCAH



Jessie menunjukkan laporan polis yang dibuatnya kelmarin dan kandungan SMS berbaur lucah.


SELAYANG - Satu laporan polis dibuat kelmarin selepas kerap menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah.

Ketua Wanita MCA Cawangan Taman Selayang Jaya, Jessie Ooi mengakui mengalami sedikit trauma apabila beliau kerap menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah daripada individu tidak dikenali.

Menurutnya, beliau mula mendapat panggilan dan SMS lucah tersebut sejak Mei lalu namun kebelakangan ini gangguan tersebut semakin kerap sehingga menimbulkan kebimbangan ke atas diri dan keluarganya.

“Saya menerima gangguan daripada lima nombor telefon berbeza dan salah satunya pernah mengganggu lebih 20 kali sehari," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jessie tidak menolak kemungkinan pihak yang mengganggu terdiri penyokong tegar calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya akan datang atau individu yang sengaja menimbulkan provokasi.

“Salah seorang memaklumkan dia diarahkan oleh seseorang untuk mengganggu saya dan tidak takut apabila saya memaklumkan akan membuat laporan polis.

“Sebelum ini, permasalahan itu dibiarkan kerana terlalu sibuk dan menganggapnya sebagai senario politik tetapi kebelakangan ini semakin teruk menyebabkan saya perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, bimbang gangguan panggilan dan SMS lucah itu berlaku, satu laporan polis telah dibuat kelmarin bagi menjamin keselamatan diri dan memohon perlindungan daripada pihak berkuasa.

“Kesemua nombor tersebut telah diserahkan kepada polis dan berharap siasatan dapat dijalankan dengan mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab membuat gangguan,” katanya.

Sunday, 9 December 2012

HAMAS : SAMBUTAN KE - 25 TAHUN PERTUBUHAN




GAZA CITY 8 Dis. - Beribu-ribu penduduk Palestin berhimpun di Gaza hari ini bagi menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan pertubuhan Hamas yang turut dihadiri pemimpin Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal.

Ini merupakan lawatan pertama Khaled Meshaal, yang tiba dari Mesir, semalam ke Gaza dan wilayah Palestin sejak 1975.

Sambutan itu diadakan dua minggu selepas gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir yang menamatkan serangan lapan hari tentera Israel ke atas Gaza mengorbankan 174 penduduk Palestin.

Hujan renyai-renyai yang membasahi bumi Gaza pada sebelah pagi tidak menghalang beribu-ribu penduduk Gaza kebanyakan mereka wanita berkumpul sebelum upacara utama bermula pada sebelah tengah hari di Kompleks Al-Qatiba di barat Gaza City, lapor wakil AFP.

Berpuluh-puluh anggota sayap keselamatan Hamas yang bertopeng daripada Briged Ezzedine al-Qassam ditempatkan di bumbung- bumbung bangunan bagi mengawal keselamatan.

Dua kerusi kosong ditempatkan di atas pentas utama sebagai memperingati pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin, yang dibunuh tentera Israel pada 2004, dan komander tentera Hamas, Ahmed Jaabari, yang dibunuh oleh Israel pada 14 November lalu.

Ketua Publisiti Hamas, Ashraf Abu Zaed berkata, lebih 200,000 penduduk Palestin menyertai sambutan itu.

Ketika berucap Khaled Meshaal berjanji "untuk mencapai perdamaian, menghapuskan perpecahan (dengan Fatah) dan mengukuhkan perpaduan (penduduk Palestin) bagi membentuk satu pasukan bersatu menghadapi Zionis Israel. - AFP

PANAS !!! KISAH DI SEBALIK PERKAHWINAN BETTY BANAFE !! JOM TENGOK !!!

Betty Banafe

JOHOR BAHRU – Dengan sekali lafaz pelakon dan penyanyi, Betty Banafe atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 33, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Bruce Darghous, 31, seorang perunding teknologi.

Pasangan itu selamat diijabkabulkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam negeri, Ahmad Faisal Mohamed di rumah pengantin perempuan pada jam 2.30 petang di Kempas Baru di sini, semalam.

Betty yang menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang emas, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah hantaran yang diterima daripada suaminya, kacukan Inggeris-Lebanon.

Pada majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua mempelai, Darghous yang memakai sut hitam membawa bersama sembilan dulang hantaran dan dibalas lapan oleh Betty yang anggun memakai busana berwarna putih berona firus.

Betty ketika ditemui selepas majlis berkenaan melahirkan perasaan syukur bergelar seorang isteri setelah setahun menyulam cinta.

“Biarpun kami pernah berdepan dengan pelbagai dugaan, saya bersyukur kerana hubungan kami akhirnya ke jenjang pelamin. Saya berdoa agar hubungan kami berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Pasangan tersebut merancang untuk berbulan madu di Pulau Sipadan, Sabah dan akan mengadakan majlis resepsi di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini pada 12 Disember ini.

Friday, 7 December 2012

CERITA ARTIS : G IN CURANG DENGAN SUAMI !!!

Ga In

Walaupun memiliki suami yang tampan, aktres cantik, Han Ga In, tetap mendambakan lelaki lain.

Keterujaan isteri kepada aktor terkenal, Yun Jung Hoon, terhadap ketua kumpulan Big Bang, G Dragon, mula diperkatakan apabila Ga In mengakui terpesona ketika bertemu dengan idola itu.

"Saya adalah salah seorang peminatnya. Jadi, tidak salah sekiranya saya menjadikan G Dragon sebagai idola.

"Lagipun, suami sangat mengetahuinya dan dia tidak mungkin cemburukan kami," katanya.

Ga In juga turut memberi sokongan kepada kumpulan itu dengan menyertai majlis penghargaan Big Bang sempena meraih anugerah, Boyband Terbaik, di MAMA 2012, Hong Kong.

WAJIB BACA : JANGAN BIARKAN KUMAN (KOMUNIS ) MEMBIAK !!!!


Photo: "Kita tidak akan sekali2 membiarkan kuman politik (komunis) seperti ini membiak dan menjahanamkan tubuh badan bangsa dan negara. Malangnya, sebagaimana yang akan saya terangkan dalam buku ini - peristiwa2 yang berlaku menunjukkan bahawa pengkhianat komunis masih wujud dalam kalangan kita dan mereka sentiasa bersedia untuk menjahanamkan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspa bagi menentang pengkhianat itu" ( Tunku Abdul Rahman, 13 Mei Sebelum & Selepas)


"Kita tidak akan sekali2 membiarkan kuman politik (komunis) seperti ini membiak dan menjahanamkan tubuh badan bangsa dan negara. Malangnya, sebagaimana yang akan saya terangkan dalam buku ini - peristiwa2 yang berlaku menunjukkan bahawa pen
gkhianat komunis masih wujud dalam kalangan kita dan mereka sentiasa bersedia untuk menjahanamkan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspa bagi menentang pengkhianat itu" ( Tunku Abdul Rahman, 13 Mei Sebelum & Selepas)

Friday, 30 November 2012

ISYARAT PRU-13 SUDAH TIBA -TPM #PAU2012



KUALA LUMPUR 29 Nov. - Ucapan yang bernas dan bernada tegas Presiden UMNO adalah isyarat jelas kepada seluruh pemimpin di semua peringkat supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang merupakan cabaran besar bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ucapan dasar yang penuh dengan mesej itu bagi memperkukuhkan jentera parti supaya semua ahli bangkit dan meneruskan perjuangan mempertahankan UMNO dan BN sebagai kerajaan yang memerintah selepas pilihan raya nanti.

Beliau berkata, amaran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berjuang habis-habisan mempertahankan Putrajaya memang wajar kerana semua pemimpin dan ahli mengetahui senario politik negara tidak seperti dahulu.

"Cabaran yang akan dihadapi UMNO dan BN memang lebih hebat kerana kita tahu di pihak sana (pembangkang) mereka macam kemaruk kuasa politik.

''Mereka sudah buka jalan ke Putrajaya walau dengan apa cara sekalipun dan sebab itu ada pelbagai taktik dan cara kotor termasuk mempertikaikan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Contohnya sudah digambarkan awal-awal lagi, jika esok ada pilihan raya, keputusan tidak memihak kepada mereka adalah kerana sistemnya dibuat dengan kotor, tidak adil," katanya mengulas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, di PWTC, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, situasi politik sekarang tidak seperti 10 dan 20 tahun lalu dan keadaan lebih mencabar kerana rakyat terdedah dengan teknologi maklumat dan komunikasi serta berminda baharu.

"Tanggapan dan harapan rakyat khususnya kira-kira 13 juta pengundi termasuk 2.7 juta pengundi generasi muda sudah jauh berbeza.

"Jadi, apabila sampai pilihan raya pastinya ia tidak seperti biasa, kita akan berdepan dengan cabaran yang agak luar biasa dan mesti bersiap siaga, kena peka serta berhati-hati dengan situasi seperti itu," katanya.

Muhyiddin yakin sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO dan BN menyedari perkara itu serta merapatkan barisan supaya negara tidak terjerumus dalam perangkap yang dimainkan pembangkang.

Beliau berkata, lima 'resipi' yang digariskan Perdana Menteri iaitu mengukuhkan perpaduan, sikap taat dan setia, jangan mensabotaj parti, calon boleh menang dan menyokong calon yang dipilih pucuk pimpinan parti harus dipatuhi semua pemimpin dan ahli bagi mencapai kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keperitan yang dirasai akibat kekalahan beberapa negeri kepada pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu harus dijadikan pengajaran dan semua pihak mesti bekerja keras memastikan ia tidak berulang apatah lagi membabitkan kuasa di peringkat nasional.

Sambil menyatakan semua jentera telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa, Muhyiddin memberitahu, sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN sudah pulih dan kini semakin kuat.

Monday, 26 November 2012

PANAS !!! AKHIRNYA TPM BANTAI DONG ZONG !!!!!


SERDANG 25 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana pertubuhan itu sering menuduh segala pembaharuan pendidikan oleh kerajaan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan untuk merosakkan bahasa Cina dan masa depan sekolah Cina.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak negara merdeka 55 tahun yang lalu, kerajaan tidak pernah meminggirkan pendidikan sekolah Cina apatah lagi mahu merosakkan bahasa Cina sebaliknya segala kekurangan yang ada segera ditampung bagi memastikan pendidikan tersebut tidak terjejas.

Sehubungan itu beliau berkata, Dong Zong dalam isu tersebut lebih bersifat politik dan bukannya menjadi pejuang pendidikan seperti mana yang dilaung-laungkan oleh mereka.

''Begitu juga dengan pendidikan Tamil. Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa pelan pendidikan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung menyebut untuk meminggirkan sekolah yang menggunakan bahasa Cina atau Tamil, malah kedua-dua aliran ini akan terus kekal seperti mana dalam laporan itu.

''Jadi apa maknanya. Ini bermakna aliran sekolah Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah akan terus kekal diajar, kekal sampai bila-bila. Mungkin selagi ada bulan, bintang dan matahari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2012 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan terkini Dong Zong yang menganjurkan perhimpunan hari ini bagi membantah perlaksanaan PPPM yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dengan kebimbangan sekolah vernakular akan diketepikan.

Menyentuh isu sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan kerajaaan tidak pernah ada niat jahat atau niat terselindung setiap kali pelan pembangunan pendidikan yang baru diperkenalkan apatah lagi bertujuan meminggirkan sekolah Cina dan Tamil.

''Tidak ada satu niat jahat atau tujuan terselindung yang sering dianggap oleh Dong Zong terutama apabila kerajaan mahu membuat pembaharuan pendidikan. Mereka merasa takut dengan beranggapan pelan untuk memajukan pendidikan negara dikatakan mahu merosakkan bahasa Cina. Ini tanggapan yang amat salah.

''Kenyataan Dong Zong ini tidak boleh dipertahankan. Mereka bercakap 'lentang-lentung' di sana sini dan kemudian membuat tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini adalah tujuan politik, bukan pendidikan. Mengenai PPPM, semua rakyat Malaysia sokong dan mengapa Dong Zong tidak sokong," ujarnya.

Beliau berkata, hanya beberapa sahaja pertubuhan yang menyokong Dong Zong sebaliknya lebih banyak pertubuhan tidak menyokongnya.

''Sebab apa, sebab mereka (pertubuhan) tahu Dong Zong ada muslihat politik. Saya tiada kepentingan politik tetapi saya melihat kepentingan pelajaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan BN mengiktiraf sistem pendidikan Cina dan Tamil dan sehingga kini kedua-dua aliran itu terus berjalan.

'Sekiranya kita hendak lakukan perkara ini sudah berpuluh tahun yang lalu kita buat. Namun, sehingga setakat ini, sejak 55 tahun kita merdeka sekolah aliran Cina tidak pernah ditutup dan bahasa Cina diajar seperti biasa. Bukan itu sahaja bahkan kerajaan menambah jumlah sekolah Cina dan meningkatkan jumlah guru sekolah Cina sedia ada," katanya lagi.

SUKAN : HARIMAU MALAYA MULA LANGKAH SUMBANG


KUALA LUMPUR - Apa lagi mahu dikata? Permulaan menarik yang diharapkan buat Harimau Malaya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Suzuki AFF nampaknya hanya tinggal harapan kosong semata-mata.

Kita kalah dengan cara yang memalukan 0-3 kepada Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol melalui ketua pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37 sebelum disudahkan dengan penuh bergaya oleh pemain berusia 42 tahun, Aleksandar Duric pada minit ke-75 untuk melengkapkan mimpi ngeri jurulatih, Datuk K. Rajagobal dan para pemain Harimau Malaya di hadapan kira-kira 40,000 penonton.

Masalah sama yang sebenarnya sudah boleh dapat dikesan dalam perlawanan persahabatan sebelum ini nampaknya tetap terjadi dengan kelemahan ketara bahagian pertahanan dan tengah yang menjadi punca kepada kemenangan Singapura.

Rajagobal jelas tidak mengambil pengajaran berguna apabila melihat jentera tengah yang dikawal oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan cukup pincang dalam mengawal permainan lantas membuka ruang kepada lawan mencipta gerakan-gerakan berbahaya ke kubu Malaysia.

Namun, masalah paling ketara buat skuad bimbingan Rajagobal ialah barisan pertahanan yang banyak melakukan kesilapan mudah dengan persefahaman para pemain menjadi persoalan besar.

Dua daripada tiga gol Singapura ternyata merupakan kecuaian pertahanan yang tidak merantai kemas pergerakan penyerang lawan terutamanya Shahril yang menjadi pemusnah semangat perjuangan Harimau Malaya.

Gandingan Aidil Zafuan, Fadhli Shas dan Azmi Muslim sering sahaja 'lemas' dengan hantaran-hantaran lintang berbahaya daripada Shahdan Sulaiman di samping prestasi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang sedang sibuk memikirkan soal perkahawinannya pada 28 Disember depan tiba-tiba berada di tahap yang meragukan.

Biarpun Malaysia memberikan harapan besar seolah-olah mampu menjinakkan Singapura pada 30 minit permainan melalui gerakan berbahaya Norshahrul Idlan Talaha, segala-galanya berubah apabila pelawat memecahkan kebuntuan dua minit kemudian dengan gol daripada Shahril Ishak.

Berpunca daripada hantaran silang Shahdan dari sebelah kiri, Shahril bijak mengeksploitasi kelemahan komunikasi antara Azmi Muslim dan Fadhli Shas sebelum mudah menyepak masuk ke dalam gawang Malaysia yang ternganga luas.

Gol itu ternyata menyentap semangat anak-anak buah Rajagobal yang bagaikan hilang fokus selepas itu dan ia memberikan ruang kepada Shahril sekali lagi mengukuhkan kedudukan Singapura dengan jaringan kedua pada minit ke-37.

Segalanya bermula dengan kesilapan Khairul Fahmi yang menepis bola ke belakang yang cuba diselamatkan oleh Fadhli yang dapat menanduk keluar atas garisan gol namun Shahril dapat menyambar bola tersebut dengan menanduk kemas ke dalam pintu gol.

Membawa masuk Wan Zack Haikal di separuh masa kedua menggantikan Khyril Muhymeen tidak memberikan apa-apa impak dengan Safee Sali serta Norshahrul masih gagal mendapatkan bola hantaran berkualiti daripada barisan tengah.

Duric yang hanya dibawa masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-70 akhirnya dapat melepaskan hajatnya menjaringkan gol ketika berdepan Malaysia apabila dia yang tidak dikawal oleh Aidil serta Fadhli, lima minit kemudian menanduk cantik hantaran Shahdan yang layak dianggap pemain terbaik pada perlawanan itu.

Gol itu ternyata membunuh apa perjuangan pemain Harimau Malaya dengan penyokong-penyokong Malaysia mula keluar stadium secara perlahan-lahan sambil segolongan penyokong yang digelar Ultras Malaya menyorak dengan memperkatakan "Rajagobal, apakah yang engkau buat." bagi menamatkan malam penuh mengecewakan Harimau Malaya.