Wednesday, 12 December 2012

SUKAN : AFF SUZUKI MALAYSIA KEMUKAKAN BANTAHAN - LAYANAN KELAS KETIGA


Pemain kebangsaan menjalani latihan di sebuah padang awam yang kurang sempurna di Bangkok, semalam sebagai persediaan untuk separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok.

BANGKOK - Belum pun berdepan ujian sebenar, Harimau Malaya menempuh dugaan awal daripada tuan rumah, Thailand untuk aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF esok, apabila diberikan layanan kurang memuaskan kerana terpaksa mengadakan sesi latihan di padang yang kurang sempurna.

Padang latihan yang disediakan bukan sahaja tidak rata, malahan tiang golnya juga patah.

Padang berkenaan turut digunakan orang awam untuk bermain bola sepak dan terletak bersebelahan laluan kereta api aliran ringan (LRT).

Suasana yang dihadapi pemain mengundang dukacita pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal kerana menganggap ia layanan kurang mesra ketika Malaysia merangka strategi untuk separuh akhir kedua dengan Thailand esok.

"Saya amat terkejut dengan layanan tuan rumah dan telah mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak ASEAN dan Persatuan Bola Sepak Thailand (FTT) mengenai padang latihan yang disediakan.

"Kami hanya diberikan padang awam yang turut digunakan oleh orang biasa. Keadaan rumput juga berbahaya untuk pemain menjalani latihan secara insentif kerana bimbang mendapat kecederaan.

"Ini menyukarkan jurulatih, Datuk K. Rajagobal melakukan perancangan taktikal petang ini kerana tempat latihan yang terlalu terbuka.

"Malahan kemudahan untuk menyalin baju pun tiada, cukup sedih apabila diberi layanan sebegini, seolah-olah tiada tanda rasa hormat kepada kami," katanya ketika ditemui di padang latihan Jalan Buraprat, di sini semalam.

Pada sesi latihan sulung itu, para pemain hanya mampu melakukan latihan ringan dengan penggunaan separuh padang sahaja ekoran digunakan oleh orang awam.

Malahan, kereta melalui tepi padang terbabit semasa latihan, yang menunjukkan padang itu memang tidak sesuai bagi latihan bagi sebuah pasukan bola sepak bertaraf kebangsaan.

Menurut Subahan, layanan tersebut memang tidak adil kerana semasa separuh akhir pertama di Kuala Lumpur, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan layanan sebaik mungkin kepada Thailand sebagai tetamu.

"Jika di Malaysia, kami boleh memberikan layan sebaiknya dengan hotel bertaraf lima bintang di samping kawalan keselamatan pihak polis sepanjang masa.

"Mereka juga mendapat kemudahan latihan secara tertutup di Kompleks Sukan Maybank, Bangi dan kita memenuhi segala keperluan yang dikehendaki.

"Namun, apabila kita sampai di sini... adakah kita mendapat layanan yang sama?," soalnya.

Perkara sama diluahkan Rajagobal yang tidak menjangka situasi itu berlaku dan berasa kecewa kerana tidak dapat menilai pemain yang baru pulih daripada kecederaan.

"Saya tidak boleh nafikan ini merupakan satu bentuk gangguan kepada persiapan kami tetapi tidak mahu fikirkan perkara ini terlalu serius, kita kena anggap ini satu cabaran sebelum berdepan Thailand," katanya

No comments:

Post a Comment