ALOR SETAR - Penduduk Kampung Tanjung Seri merayu pihak berkaitan meluluskan permohonan mewakafkan tanah persendirian milik Fatimah Othman menjadi hak milik Surau Tanjung Seri.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Razali Lazim, 58, berkata, sudah beberapa kali permohonan dikemukakan, namun tiada maklum balas dari pihak berkaitan.
“Pada 11 September 2006, wakil penduduk kampung menghantar surat permohonan kepada Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Namun, permohonan ditolak dengan alasan sudah lewat.
“Selepas itu, pada 2010, kami sekali lagi mencuba nasib untuk mendapatkan kelulusan tanah wakaf terbabit, tetapi tiada maklum balas diterima,” katanya.
Razali berkata, kegagalan mendapat kelulusan itu mengakibatkan peruntukan sebanyak RM70,000 dari Kerajaan Persekutuan bagi membaiki surau yang semakin uzur tidak dapat diperoleh.
Menurutnya, dia kecewa kerana peruntukan sudah diperoleh tetapi disebabkan masalah tanah surau tidak berjaya diwakafkan maka penduduk kampung terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membaiki surau itu.
"Keadaan ini menyebabkan penduduk kampung terpaksa berputih mata sahaja kerana peruntukan yang diterima terpaksa dilepaskan kepada kampung lain," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau, Rossidah Ahmad, 48, berkata, sebelum ini, pemberian tanah wakaf itu dilakukan melalui percakapan sahaja oleh pemilik tanah berkenaan.
Katanya, wakil penduduk sudah melafazkan akad pemberian itu di bahagian Baitulmal, namun tiada maklum balas diterima.
"Jika kami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, kami akan cuba melengkapkan borang permohonan yang dihantar itu supaya permohonan itu diluluskan," katanya.
Ahli JKKKP Kampung Tanjung Seri, Osman Yusuf, 65, berkata, dia memohon pihak berkaitan meluluskan permohonan mewakafkan tanah itu dengan segera supaya mereka mudah mendapat bantuan.
Katanya, keadaan surau sudah usang, jadi banyak kos perlu dikeluarkan bagi membaiki keadaan surau itu.
"Hasil wang yang dikumpulkan penduduk kampung, mereka hanya mampu membaiki sebahagian kecil surau sahaja dan membina bahagian bawah surau yang tidak ada sebelum ini.
"Tingkat atas surau tidak dapat digunakan langsung oleh penduduk kerana lantainya yang semakin rapuh dan bumbung yang bocor," katanya.
Malah, katanya,tingkap hanya mampu ditampal dengan zink sahaja dan keadaan ini dikhuatiri mengundang bahaya pada penduduk yang menggunakan surau.
No comments:
Post a Comment