Monday 24 December 2012

JERAITV : KUIN LAMBAT BERTINDAK #TUKARKEDAH

'Kolej lambat bertindak'

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah kesal dengan pihak pentadbiran Kuliyah Al-Quran, Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang tidak pernah memanggil tujuh graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang didakwa tidak mendapat sijil mereka kerana tidak mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa walaupun tujuh graduan sudah meminta pihak pentadbiran untuk berjumpa dan membincangkan status pengiktirafan sijil mereka selepas konvokesyen pada September lepas, namun sehingga 19 Disember baru-baru ini, barulah timbalan dekan yang mewakili pihak pentadbiran Kuliyah menghubungi salah seorang pelajar berkenaan untuk membincangkan isu terbabit.

“Mengapa, pihak pentadbiran mengambil masa terlalu lama untuk menghubungi graduan berkenaan, sedangkan perkara ini sudah berlarutan kira-kira tiga bulan.

“Kami berasa kesal dengan tindakan pihak berkenaan ini dan masyarakat boleh menilai sendiri kenyataan sebenar isu berkenaan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Shamsul berkata, akibatnya tujuh graduan berkenan gagal dalam permohonan kerja dalam sektor awam, di mana empat daripadanya yang menghadiri temuduga Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-QAF) gagal dalam mendapat tempat untuk pengambilan Januari 2013.

Katanya, manakala seorang lagi daripada tujuh graduan terbabit, yang membuat permohonan menyertai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kedah, langsung tidak mendapat panggilan temuduga, kerana ijazah mereka masih belum mendapat pengiktirafan daripada MQA.

Menurutnya, pada hari ini (semalam), selepas sidang media, pihak GPMS akan menghantar surat pada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membincangkan isu berkenaan, disebabkan MQA berada di bawah kementerian berkenaan, jadi hanya pihak terbabit mampu menyelesaikan isu ini.

Katanya, pihak GPMS sudi menjadi pengantara untuk mengatur pertemuan antara tujuh pelajar terbabit dengan Insaniah yang mana sekurang-kurangnya mereka dapat berbincang supaya kegusaran hati graduan dan keluarganya ini dapat dikurangkan.

Menurutnya, perkara ini sudah dibangkitkan berkali-kali di media, jadi pihak Insaniah sepatutnya memainkan peranan, bagi menunjukkan mereka mempunyai rasa tanggungjawab dalam usaha menyelesaikan isu ini, lagipun sudah banyak masa, tenaga dan wang graduan berkenaan dihabiskan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Shamsul menggesa agar pihak berkenaan dapat meneliti dan mempercepatkan proses pengiktirafan itu, demi masa depan tujuh orang graduan berkenaan.

No comments:

Post a Comment