Showing posts with label PALESTINE. Show all posts
Showing posts with label PALESTINE. Show all posts

Thursday, 13 December 2012

HAMAS LANTIK PRESIDEN KP1M SEBAGAI DUTA KEHORMAT PALESTIN


GAZA CITY - Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik oleh kerajaan Hamas sebagai 'duta kehormat' untuk Palestin.

Abdul Azeez yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Sabtu lalu, dilantik dalam satu upacara rasmi di Universiti Islam Gaza dan watikah
pelantikan disampaikan Ketua Pengarah Kementerian Luar Hamas, Mahmoud El-Hadour, semalam.

Pelantikan itu dimaklumkan sendiri kepada Abdul Azeez oleh Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh berikutan persetujuan sebulat suara jemaah kabinet Hamas yang bermesyuarat selepas kunjungan hormat Abdul Azeez dan 58 anggota sukarelawan ke atas Ismail kelmarin.

"Saya bersyukur, ini semua kerana mereka menyanjung tinggi kepimpinan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan nama Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka sekian lama tidak lekang di bibir mereka, dan juga Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai perdana menteri terdahulu," katanya kepada pemberita.

Antara skop tugasan beliau sebagai duta kehormat seperti tertulis di watikah pelantikan itu ialah menyampai dan memperjuang nasib rakyat Palestin melalui program-program yang sesuai.

Menurut Abdul Azeez, berita baik itu telah disampaikan kepada Najib yang mengucapkan tahniah atas pengiktirafan itu.

"Insya-ALLAH bantuan susulan akan kami laksanakan dalam masa terdekat. Saya akan balik dan bertemu perdana menteri serta Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman) untuk minta pandangan dan nasihat bagaimana tindakan susulan boleh kita lakukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya segala perbezaan politik diketepikan dalam menjayakan misi bantuan kepada rakyat Palestin yang merupakan saudara sesama Islam.

Misi bantuan kemanusiaan anjuran KP1M dan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia yang membawa bantuan berjumlah US$1.5 juta (RM4.5 juta) itu berakhir hari ini di Gaza dan akan bergerak ke Kaherah, Mesir untuk menyampaikan bantuan di sana.

Semua anggota sukarelawan itu dijangka menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia malam esok. - Bernama

Sunday, 9 December 2012

HAMAS : SAMBUTAN KE - 25 TAHUN PERTUBUHAN




GAZA CITY 8 Dis. - Beribu-ribu penduduk Palestin berhimpun di Gaza hari ini bagi menyambut ulang tahun ke-25 penubuhan pertubuhan Hamas yang turut dihadiri pemimpin Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal.

Ini merupakan lawatan pertama Khaled Meshaal, yang tiba dari Mesir, semalam ke Gaza dan wilayah Palestin sejak 1975.

Sambutan itu diadakan dua minggu selepas gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir yang menamatkan serangan lapan hari tentera Israel ke atas Gaza mengorbankan 174 penduduk Palestin.

Hujan renyai-renyai yang membasahi bumi Gaza pada sebelah pagi tidak menghalang beribu-ribu penduduk Gaza kebanyakan mereka wanita berkumpul sebelum upacara utama bermula pada sebelah tengah hari di Kompleks Al-Qatiba di barat Gaza City, lapor wakil AFP.

Berpuluh-puluh anggota sayap keselamatan Hamas yang bertopeng daripada Briged Ezzedine al-Qassam ditempatkan di bumbung- bumbung bangunan bagi mengawal keselamatan.

Dua kerusi kosong ditempatkan di atas pentas utama sebagai memperingati pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin, yang dibunuh tentera Israel pada 2004, dan komander tentera Hamas, Ahmed Jaabari, yang dibunuh oleh Israel pada 14 November lalu.

Ketua Publisiti Hamas, Ashraf Abu Zaed berkata, lebih 200,000 penduduk Palestin menyertai sambutan itu.

Ketika berucap Khaled Meshaal berjanji "untuk mencapai perdamaian, menghapuskan perpecahan (dengan Fatah) dan mengukuhkan perpaduan (penduduk Palestin) bagi membentuk satu pasukan bersatu menghadapi Zionis Israel. - AFP