Kami menentang penggunaan agama dan kaum untuk agenda 'pecah dan perintah' rakyat atau sebagai alat untuk kerajaan atau parti politik tertentu memenangi pilihanraya.
Kami juga menyokong hak dan kebebasan beragama secara demokratik, dan ini hanya boleh dicapai sekiranya satu kerajaan yang berlandaskan kepada hasrat dan keperluan rakyat biasa ditubuhkan. Satu kerajaan yang mengagungkan kuasa dan kemewahaan segelintir golongan elit dan kapitalis akan mempergunakan sentimen agama dan kaum dengan matlamat memecahkan rakyat biasa untuk memastikan kuasa dan kemewahaan mereka terjamin.
Di Malaysia pada masa kini sentimen agama dan kaum terus dipermainkan oleh parti-parti politik untuk memenangi pilihanraya atau mengekalkan kuasa pemerintahan. Pada 6 April 2017 yang lalu, PAS membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah RUU355 di Dewan Rakyat sebagai langkah untuk melaksanakan beberapa pindaan dalam undang-undang (bidang Kuasa Jenayah) mahkamah syariah. Tidak cukup dengan itu, sebelum ini PAS juga telah mengadakan satu perhimpunan pada 18 Februari 2017 di Padang Merbok, Kuala Lumpur yang bertemakan “Syariah Diperkasa, Rakyat Sejahtera” dengan mempermainkan sentimen agama dan kaum. Kononnya UMNO dijangka akan menyokong usul tersebut.