Monday, 24 December 2012

JERAITV SUKAN : ALEX TAK SABAR UJI KEKUATAN JOHOR


PEMAIN sayap lincah Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (gambar) mengakui tidak sabar untuk membantu pasukannya memburu tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim 2013 menjelang pertemuan menentang Johor (Darul Takzim FC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 8 Januari depan.

Azamuddin yang turut dikenali sebagai Alex mendedahkan, dia yakin pertembungan tersebut pasti hangat memandangkan skuad Johor kini dibarisi ramai pemain bertaraf bintang.

Jelasnya, Pahang kini berada pada tahap keyakinan yang tinggi selepas kembali beraksi dalam Liga Super ekoran kejayaan muncul naib juara Liga Premier pada tahun ini.

Katanya, semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super pasti mahu menguji Johor Darul Takzim FC yang berbelanja besar musim ini untuk mendapatkan beberapa pemain ternama.

Antaranya yang berjaya 'disambar' Harimau Selatan itu ialah penyerang berbisa Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali.

"Saya pasti ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat menarik.

"Beraksi di laman sendiri sudah pasti memberikan sedikit kelebihan buat kami dalam usaha memburu tiga mata pertama pada saingan Liga Super 2013.

"Saya yakin selain Pahang, kesemua pasukan berhasrat untuk menewaskan Harimau Selatan yang dilihat muncul sebagai pasukan gergasi tempatan pada masa ini.

"Apa yang pasti, kami akan menampilkan persembahan terbaik demi penyokong-penyokong setia Tok Gajah," katanya.

Ditanya mengenai sasaran Pahang pada musim depan, pemain berusia 27 tahun itu memberitahu dia hanya lebih berminat untuk kekal dalam saingan Liga Super berbanding memikirkan kelompok lima teratas liga.

"Ramai mengetahui bahawa setiap pasukan telah mendapatkan beberapa pemain terbaik dalam usaha untuk menguatkan pasukan mereka." KOSMO 

JERAITV : BARANG TERPAKAI LARIS DI PENDANG !!

Berbaloi beli barang terpakai

Berbaloi beli barang terpakai

PENDANG - Tidak semua individu gemar membeli barangan terpakai kerana mendakwa tidak berkualiti dan tidak tahan lama selain dikatakan kurang standard terutama kepada yang berpendapatan tinggi dan menetap di bandar.

Namun lain bagi masyarakat luar bandar yang dikatakan lebih gemar memilih barangan terpakai iaitu selain daripada pakaian, perabot dan alat elektrik dikatakan mendapat permintaan tinggi.

Peniaga barang terpakai, Bakri Ismail, 41, berkata, perniagaan yang diusahakannya selama empat tahun mendapat sambutan hingga mampu meraih pendapatan bulanan kira-kira RM40,000.

Menurutnya, kini dia tidak menang tangan mencari stok barangan untuk dipamerkan di kedainya yang terletak di simpang Tiga Pekan Bukit Jenun.

Bakri berkata, dia yang pada mulanya bekerja sebagai jurutera sanggup meletakkan jawatannya berikutan dia yakin bahawa perniagaan barangan terpakai mampu berkembang lebih jauh.

“Saya tak mahu terus makan gaji.

“Pada mulanya saya berniaga barangan terpakai sekitar pekan hari pada setiap hujung minggu namun melihat sambutan terhadap barangan itu begitu baik, saya berniaga sepenuh masa,” katanya kepada Sinar Harian.

Perniagaan barangan terpakai di bawah syarikat Sepintas Maju Trading itu turut menjual beberapa barang terpakai yang berkualiti dan murah seperti kerusi, meja sofa, tilam, set perabot termasuk barangan elektrik seperti televisyen, peti ais, mesin basuh, kipas angin, pendingin hawa dan banyak lagi.

Dia berkata, perabot dan barangan elektrik terpakai dijual pada harga serendah RM10 hingga RM400 namun bergantung kualiti dan jenama barangan itu.

“Saya tidak berhadapan risiko kerugian kerana semua barang diambil secara borong dengan modal yang rendah dan setiap barang yang diambil mampu bertahan seminggu sahaja kerana mendapat sambutan ramai.

“Banyak pelanggan tetap bukan sahaja sekitar Pendang tetapi dari Perlis dan Alor Setar yang gemar membeli barangan terpakai di kedai ini kerana mendakwa barangnya berkualiti dan murah,” katanya.

Bakri yang mengamalkan khidmat mesra dengan pelanggannya menyebabkan ramai pelanggan tidak putus-putus berkunjung ke kedainya.

Katanya, perabot dan barangan elektrik merupakan barangan terpakai yang paling laris serta mendapat permintaan tinggi.

"Oleh sebab itu saya selalu berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan stok.

“Perniagaan yang saya usahakan ini turut membantu golongan miskin memiliki barangan yang mereka inginkan kerana harga yang saya berikan adalah jauh lebih rendah berbanding harga sebenar,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Kholijah Don, 52, berkata, dia sentiasa membeli barangan terpakai kerana harganya lebih murah dan mampu dimiliki.

“Saya orang susah dan hanya menoreh getah sahaja.

“Saya akan memilih barang yang berkualiti dan murah seperti katil, almari, kusyen yang murah kira-kira 70 peratus berbanding harga sebenar,” katanya.

Siti Mariam Awang, 60, berkata, dia hanya memilih barangan terpakai agar tahan lama.

“Saya akan beri wang pendahuluan kira-kira RM20 dan akan pulang menoreh getah serta kembali membayar sepenuhnya selepas dua minggu.

“Semua perabot rumah terpakai sahaja yang mampu dibeli kerana perabot baru jauh lebih mahal,” katanya.

Dalam pada itu, Nordin Mahmud, 53, pula berkata, perniagaan barang terpakai amat berbaloi dijual terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah, ia dapat memberi kemudahan kepada mereka mendapat barang yang diinginkan. - SINAR 

JERAITV : KUIN LAMBAT BERTINDAK #TUKARKEDAH

'Kolej lambat bertindak'

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah kesal dengan pihak pentadbiran Kuliyah Al-Quran, Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang tidak pernah memanggil tujuh graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang didakwa tidak mendapat sijil mereka kerana tidak mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa walaupun tujuh graduan sudah meminta pihak pentadbiran untuk berjumpa dan membincangkan status pengiktirafan sijil mereka selepas konvokesyen pada September lepas, namun sehingga 19 Disember baru-baru ini, barulah timbalan dekan yang mewakili pihak pentadbiran Kuliyah menghubungi salah seorang pelajar berkenaan untuk membincangkan isu terbabit.

“Mengapa, pihak pentadbiran mengambil masa terlalu lama untuk menghubungi graduan berkenaan, sedangkan perkara ini sudah berlarutan kira-kira tiga bulan.

“Kami berasa kesal dengan tindakan pihak berkenaan ini dan masyarakat boleh menilai sendiri kenyataan sebenar isu berkenaan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Shamsul berkata, akibatnya tujuh graduan berkenan gagal dalam permohonan kerja dalam sektor awam, di mana empat daripadanya yang menghadiri temuduga Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-QAF) gagal dalam mendapat tempat untuk pengambilan Januari 2013.

Katanya, manakala seorang lagi daripada tujuh graduan terbabit, yang membuat permohonan menyertai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kedah, langsung tidak mendapat panggilan temuduga, kerana ijazah mereka masih belum mendapat pengiktirafan daripada MQA.

Menurutnya, pada hari ini (semalam), selepas sidang media, pihak GPMS akan menghantar surat pada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membincangkan isu berkenaan, disebabkan MQA berada di bawah kementerian berkenaan, jadi hanya pihak terbabit mampu menyelesaikan isu ini.

Katanya, pihak GPMS sudi menjadi pengantara untuk mengatur pertemuan antara tujuh pelajar terbabit dengan Insaniah yang mana sekurang-kurangnya mereka dapat berbincang supaya kegusaran hati graduan dan keluarganya ini dapat dikurangkan.

Menurutnya, perkara ini sudah dibangkitkan berkali-kali di media, jadi pihak Insaniah sepatutnya memainkan peranan, bagi menunjukkan mereka mempunyai rasa tanggungjawab dalam usaha menyelesaikan isu ini, lagipun sudah banyak masa, tenaga dan wang graduan berkenaan dihabiskan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Shamsul menggesa agar pihak berkenaan dapat meneliti dan mempercepatkan proses pengiktirafan itu, demi masa depan tujuh orang graduan berkenaan.