Saturday, 3 December 2016

Pegawai Seleweng RM100 Juta , Khairy Jamaluddin Buat Tak Tahu ?


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu bertanggungjawab penuh ke atas isu penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta yang dipercayai membabitkan pegawai kanan kementerian itu.

Hairan apabila orang nombor satu KBS (Khairy) mengaku tidak tahu, sedangkan hal itu dipercayai sudah berlaku.

"Atau adakah sistem pemantauan sedia ada begitu longgar hingga menteri tidak tahu berjuta ringgit hilang tanpa program?

“Dalam konteks demokrasi progresif, langkah terbaik buat beliau sekarang ialah berundur dan letak jawatan,”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian KBS serta lapan individu termasuk seorang wanita kerana dipercayai menggerakkan sindiket merugikan kerajaan.

Fahmi (Pengarah Strategik PKR ) berkata, selain pegawai kanan terbabit, Khairy perlu mengenal pasti dan mengambil tindakan disiplin ke atas lain-lain pegawai yang bertanggungjawab secara langsung atau tidak.

“Rasuah tidak berlaku tanpa persekitaran yang ‘sesuai’. Mereka bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran kejadian rasuah ini, bukan sekali tetapi berulang kali, perlu dikenal pasti dan dikenakan tindakan disiplin,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua AMK berkata, insiden tersebut menimbulkan seribu satu tanda tanya, antaranya, bagaimana pegawai itu boleh dibiarkan memegang jawatan penting dalam KBS, pegawai atasan yang mana bertanggungjawab ke atas tingkah laku dan tata tertib pegawai berkenaan dan sejauh mana sistem semak dan imbang sedia ada memadai?

“Jumlah RM100 juta bukan kecil, dan jika dakwaan tersebut terbukti benar, implikasi terhadap imej KBS amatlah besar.

“Ketika rakyat Malaysia terutamanya anak muda berhadapan ekonomi dan pasaran kerja tidak stabil, berita seorang pegawai ‘songlap’ jutaan ringgit duit rakyat pasti membuatkan ramai marah," tegasnya.

Sementara itu, Pemuda Pas turut mendesak Khairy meletak jawatannya sebagai tanda tanggungjawab di atas apa yang berlaku di KBS.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Khairy perlu berbuat demikian dengan segera kerana telah terbukti pentadbiran di KBS gagal memastikan wang rakyat diurus dengan baik.

“Pemuda Pas mengambil serius pengakuan Khairy bahawa pegawai dari kementeriannya ditahan oleh SPRM.

"Sekalipun menurut Khairy, penyelewengan itu tidak dapat dikesan oleh kementerian kerana suspek menggunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan pihak atasan, ia tetap menjadi satu kelemahan yang tidak boleh dimaafkan.

“Dengan ini, Pemuda Pas mendesak agar Menteri Belia dan Sukan mengambil tanggungjawab penuh ke atas penyelewengan dana yang sangat besar ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment