Monday, 24 December 2012

JERAITV SUKAN : ALEX TAK SABAR UJI KEKUATAN JOHOR


PEMAIN sayap lincah Pahang, Azamuddin Mohd. Akil (gambar) mengakui tidak sabar untuk membantu pasukannya memburu tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim 2013 menjelang pertemuan menentang Johor (Darul Takzim FC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 8 Januari depan.

Azamuddin yang turut dikenali sebagai Alex mendedahkan, dia yakin pertembungan tersebut pasti hangat memandangkan skuad Johor kini dibarisi ramai pemain bertaraf bintang.

Jelasnya, Pahang kini berada pada tahap keyakinan yang tinggi selepas kembali beraksi dalam Liga Super ekoran kejayaan muncul naib juara Liga Premier pada tahun ini.

Katanya, semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super pasti mahu menguji Johor Darul Takzim FC yang berbelanja besar musim ini untuk mendapatkan beberapa pemain ternama.

Antaranya yang berjaya 'disambar' Harimau Selatan itu ialah penyerang berbisa Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali.

"Saya pasti ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat menarik.

"Beraksi di laman sendiri sudah pasti memberikan sedikit kelebihan buat kami dalam usaha memburu tiga mata pertama pada saingan Liga Super 2013.

"Saya yakin selain Pahang, kesemua pasukan berhasrat untuk menewaskan Harimau Selatan yang dilihat muncul sebagai pasukan gergasi tempatan pada masa ini.

"Apa yang pasti, kami akan menampilkan persembahan terbaik demi penyokong-penyokong setia Tok Gajah," katanya.

Ditanya mengenai sasaran Pahang pada musim depan, pemain berusia 27 tahun itu memberitahu dia hanya lebih berminat untuk kekal dalam saingan Liga Super berbanding memikirkan kelompok lima teratas liga.

"Ramai mengetahui bahawa setiap pasukan telah mendapatkan beberapa pemain terbaik dalam usaha untuk menguatkan pasukan mereka." KOSMO 

JERAITV : BARANG TERPAKAI LARIS DI PENDANG !!

Berbaloi beli barang terpakai

Berbaloi beli barang terpakai

PENDANG - Tidak semua individu gemar membeli barangan terpakai kerana mendakwa tidak berkualiti dan tidak tahan lama selain dikatakan kurang standard terutama kepada yang berpendapatan tinggi dan menetap di bandar.

Namun lain bagi masyarakat luar bandar yang dikatakan lebih gemar memilih barangan terpakai iaitu selain daripada pakaian, perabot dan alat elektrik dikatakan mendapat permintaan tinggi.

Peniaga barang terpakai, Bakri Ismail, 41, berkata, perniagaan yang diusahakannya selama empat tahun mendapat sambutan hingga mampu meraih pendapatan bulanan kira-kira RM40,000.

Menurutnya, kini dia tidak menang tangan mencari stok barangan untuk dipamerkan di kedainya yang terletak di simpang Tiga Pekan Bukit Jenun.

Bakri berkata, dia yang pada mulanya bekerja sebagai jurutera sanggup meletakkan jawatannya berikutan dia yakin bahawa perniagaan barangan terpakai mampu berkembang lebih jauh.

“Saya tak mahu terus makan gaji.

“Pada mulanya saya berniaga barangan terpakai sekitar pekan hari pada setiap hujung minggu namun melihat sambutan terhadap barangan itu begitu baik, saya berniaga sepenuh masa,” katanya kepada Sinar Harian.

Perniagaan barangan terpakai di bawah syarikat Sepintas Maju Trading itu turut menjual beberapa barang terpakai yang berkualiti dan murah seperti kerusi, meja sofa, tilam, set perabot termasuk barangan elektrik seperti televisyen, peti ais, mesin basuh, kipas angin, pendingin hawa dan banyak lagi.

Dia berkata, perabot dan barangan elektrik terpakai dijual pada harga serendah RM10 hingga RM400 namun bergantung kualiti dan jenama barangan itu.

“Saya tidak berhadapan risiko kerugian kerana semua barang diambil secara borong dengan modal yang rendah dan setiap barang yang diambil mampu bertahan seminggu sahaja kerana mendapat sambutan ramai.

“Banyak pelanggan tetap bukan sahaja sekitar Pendang tetapi dari Perlis dan Alor Setar yang gemar membeli barangan terpakai di kedai ini kerana mendakwa barangnya berkualiti dan murah,” katanya.

Bakri yang mengamalkan khidmat mesra dengan pelanggannya menyebabkan ramai pelanggan tidak putus-putus berkunjung ke kedainya.

Katanya, perabot dan barangan elektrik merupakan barangan terpakai yang paling laris serta mendapat permintaan tinggi.

"Oleh sebab itu saya selalu berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan stok.

“Perniagaan yang saya usahakan ini turut membantu golongan miskin memiliki barangan yang mereka inginkan kerana harga yang saya berikan adalah jauh lebih rendah berbanding harga sebenar,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Kholijah Don, 52, berkata, dia sentiasa membeli barangan terpakai kerana harganya lebih murah dan mampu dimiliki.

“Saya orang susah dan hanya menoreh getah sahaja.

“Saya akan memilih barang yang berkualiti dan murah seperti katil, almari, kusyen yang murah kira-kira 70 peratus berbanding harga sebenar,” katanya.

Siti Mariam Awang, 60, berkata, dia hanya memilih barangan terpakai agar tahan lama.

“Saya akan beri wang pendahuluan kira-kira RM20 dan akan pulang menoreh getah serta kembali membayar sepenuhnya selepas dua minggu.

“Semua perabot rumah terpakai sahaja yang mampu dibeli kerana perabot baru jauh lebih mahal,” katanya.

Dalam pada itu, Nordin Mahmud, 53, pula berkata, perniagaan barang terpakai amat berbaloi dijual terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah, ia dapat memberi kemudahan kepada mereka mendapat barang yang diinginkan. - SINAR 

JERAITV : KUIN LAMBAT BERTINDAK #TUKARKEDAH

'Kolej lambat bertindak'

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah kesal dengan pihak pentadbiran Kuliyah Al-Quran, Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang tidak pernah memanggil tujuh graduan kumpulan pertama program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang didakwa tidak mendapat sijil mereka kerana tidak mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa walaupun tujuh graduan sudah meminta pihak pentadbiran untuk berjumpa dan membincangkan status pengiktirafan sijil mereka selepas konvokesyen pada September lepas, namun sehingga 19 Disember baru-baru ini, barulah timbalan dekan yang mewakili pihak pentadbiran Kuliyah menghubungi salah seorang pelajar berkenaan untuk membincangkan isu terbabit.

“Mengapa, pihak pentadbiran mengambil masa terlalu lama untuk menghubungi graduan berkenaan, sedangkan perkara ini sudah berlarutan kira-kira tiga bulan.

“Kami berasa kesal dengan tindakan pihak berkenaan ini dan masyarakat boleh menilai sendiri kenyataan sebenar isu berkenaan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Shamsul berkata, akibatnya tujuh graduan berkenan gagal dalam permohonan kerja dalam sektor awam, di mana empat daripadanya yang menghadiri temuduga Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-QAF) gagal dalam mendapat tempat untuk pengambilan Januari 2013.

Katanya, manakala seorang lagi daripada tujuh graduan terbabit, yang membuat permohonan menyertai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kedah, langsung tidak mendapat panggilan temuduga, kerana ijazah mereka masih belum mendapat pengiktirafan daripada MQA.

Menurutnya, pada hari ini (semalam), selepas sidang media, pihak GPMS akan menghantar surat pada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk membincangkan isu berkenaan, disebabkan MQA berada di bawah kementerian berkenaan, jadi hanya pihak terbabit mampu menyelesaikan isu ini.

Katanya, pihak GPMS sudi menjadi pengantara untuk mengatur pertemuan antara tujuh pelajar terbabit dengan Insaniah yang mana sekurang-kurangnya mereka dapat berbincang supaya kegusaran hati graduan dan keluarganya ini dapat dikurangkan.

Menurutnya, perkara ini sudah dibangkitkan berkali-kali di media, jadi pihak Insaniah sepatutnya memainkan peranan, bagi menunjukkan mereka mempunyai rasa tanggungjawab dalam usaha menyelesaikan isu ini, lagipun sudah banyak masa, tenaga dan wang graduan berkenaan dihabiskan sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Shamsul menggesa agar pihak berkenaan dapat meneliti dan mempercepatkan proses pengiktirafan itu, demi masa depan tujuh orang graduan berkenaan.

JERAITV : KARPAL MINTA TUNKU TARIK BALIK KENYATAAN !!


GEORGETOWN - Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini menggesa bekas naib pengerusi parti itu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya menarik balik secara terbuka kenyataannya dalam artikel berita bertajuk 'DAP's triumph of chauvinistic will'.

Beliau mendakwa dalam artikel itu yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, Tunku Aziz menyebut bahawa beliau (Karpal Singh) mengeluarkan apa yang boleh dianggap sebagai perintah yang menghalang anggota DAP daripada menerima darjah kebesaran negeri daripada Raja-raja Melayu.

"Kenyataan Tunku Aziz itu sememangnya separuh benar dan dilakukan semata-mata dengan tujuan dan matlamat untuk memburukkan saya pada pandangan orang Melayu di negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Karpal Singh berkata beliau tidak pernah mengungkapkan perkataan Raja-raja Melayu, sebaliknya hanya menyatakan bahawa anggota DAP, iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, tidak wajar menerima anugerah yang membawa gelaran 'Datuk' dalam tempoh memegang jawatan bagi memastikan ketelusan.

Dalam perkara berasingan, Karpal Singh berkata kematian bekas presiden Gerakan dan bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Tun Dr Lim Keng Yaik adalah kehilangan besar kepada landskap politik tanah air.

Menyifatkan mendiang Dr Lim sebagai seorang yang sentiasa riang, Karpal Singh berkata Dr Lim adalah pemimpin yang hebat dan tidak pernah bermasalah dengan beliau sungguhpun mereka berlainan parti.- Bernama

Saturday, 22 December 2012

HOT NEWS : KIAMAT TIDAK BERLAKU SEMALAM



SYDNEY - Bumi yang diramalkan kiamat berdasarkan ramalan sebahagian peminat fanatik kalendar kaum Maya di Amerika Tengah didapati tidak berlaku semalam.

Akaun Facebook agensi yang mempromosikan pelancongan di Australia, Tourism Australia dihujani dengan pertanyaan sama ada penduduk di negara itu terselamat pada 21 Disember.

Australia merupakan antara negara pertama di dunia yang menerima cahaya matahari pada hari yang diramalkan kiamat itu.

"Ya, kami masih hidup," kata agensi tersebut di laman berkenaan.

Menurut ahli-ahli arkeologi, kalendar Maya yang bermula antara 11 dan 13 Ogos 3114 Sebelum Masihi (SM) akan berakhir pada 21 Disember atau 23 Disember 2012.

Bagaimanapun, sebahagian pihak membuat tafsiran kemusnahan Bumi akan berlaku dengan menyebabkan ketibaan hari kiamat pada tarikh tersebut.

Negara-negara Asia semalam tidak dilanda bencana alam yang besar dengan penduduk di benua tersebut meneruskan kegiatan harian mereka.

Di Taichung, Taiwan, sejumlah pelajar sekolah dan orang dewasa menunggu ketibaan hari kiamat seperti yang diramalkan itu di depan sebuah binaan piramid.

GADUH : POLIS TAHAN 14 SUSPEK DI SETAPAK



KUALA LUMPUR – Polis menahan 14 suspek bersama empat botol petrol, lima bilah parang, dua batang besi, empat batang rotan dan satu wayar kabel selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Setapak semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, ACP Khairy Ahrasa berkata, 14 suspek lelaki yang berusia lingkungan 19 dan 30 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Beliau berkata, dalam kejadian 3.30 pagi itu, unit rondaan bermotosikal polis terserempak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Ayer Panas, Setapak dan pemeriksaan mendapati mereka membawa empat botol petrol, sumbu serta pemetik api.

"Hasil siasatan mendapati dua lelaki itu cuba membalas dendam terhadap sekumpulan lelaki yang bergaduh dengan mereka di sebuah restoran di kawasan tersebut.

"Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki lagi di Taman Danau Kota di sini,” katanya di sini semalam.

Khairy berkata, siasatan awal mendapati 14 suspek itu dipercayai anggota kongsi gelap ”Geng 08” dan ”Geng 18” yang disyaki bergaduh kerana tidak berpuas hati antara satu sama lain. – BERNAMA

WARTAWAN DIPUKUL KETIKA MEMBUAT LIPUTAN !!

GEORGETOWN - Seorang wartawan akbar berbahasa Cina cedera di muka apabila ditumbuk seorang lelaki ketika membuat liputan berita mengenai kehilangan tiga lelaki dan tiga wanita yang mendaki bukit di Bukit Bendera di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Choo Kar Chun, 30, dari akhbar Kwong Wah Yit Poh berkata, dia sedang mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat mangsa secara tiba-tiba datang seorang wanita yang dipercayai ahli keluarga mangsa pendaki yang hilang cuba menghalangnya melakukan tugas.

Kar Chun berkata, wanita berkenaan bertindak merampas kameranya dan memberi amaran supaya dia tidak mengambil gambar kesemua mangsa yang sedang diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Berang dengan tindakan wanita itu, Kar Chun cuba mendapatkan kembali kameranya dan turut memberi amaran supaya tidak menghalangnya menjalankan tugas.

“Selepas saya mendapatkan kembali kamera daripada perempuan itu, tiba-tiba datang seorang lelaki menghampiri dan bertindak menumbuk muka saya bertubi-tubi.

“Dia turut mengugut akan mencederakan saya sekiranya saya terus berdegil dan mengambil gambar operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Akibat kejadian itu, Kar Chun berkata, dia mengalami cedera ringan dan calar di bahagian muka dan tangan.

Bimbang akan keselamatannya, dia turut membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus petang kelmarin.

Kar Chun berkata, sebagai wartawan yang ditugaskan membuat liputan kejadian berkenaan, dia seharusnya mendapatkan pelbagai gambar operasi dan menyelamat mangsa untuk dikongsi dengan pembaca.

Menurutnya, ia adalah pengalaman pertamanya dipukul setelah enam tahun berkerja sebagai wartawan.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Ismail berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.

“Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

GADUH : 36 DITAHAN DIPERCAYAI TERLIBAT INSIDEN DI SUNGAI PETANI

ALOR SETAR - Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.

Katanya semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani.

Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan.

"Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan hura-hara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan situasi di daerah berkenaan.

Katanya polis turut mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan mencetuskan keadaan yang kurang menyenangkan.

Ahmad berkata semalam pihaknya mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama, pemimpin politik dan wakil rakyat daerah Kuala Muda di IPD Kuala Muda bagi menerangkan situasi sebenar supaya mereka boleh menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat setempat.

Katanya apa yang berlaku hanyalah pergaduhan kecil antara kumpulan anak muda dan bukannya rusuhan seperti yang digambarkan dalam blog dan media sosial.

Beliau juga menegaskan kepada golongan muda agar tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang kerana perkara tersebut membabitkan soal keselamatan.

"Kita mampu untuk tenteramkan keadaan tersebut jika masyarakat memberi kerjasama untuk mengharmonikan situasi ini. Kita juga sebarkan maklumat tepat dalam laman sosial Facebook kepada masyarakat dan kita tak sembunyikan apa-apa fakta," katanya.

Ahmad turut memberi amaran keras kepada penyebar maklumat palsu agar segera menghentikan perbuatan itu kerana katanya maklumat yang berbentuk provokasi dan sensasi berupaya untuk mencetuskan masalah perkauman sekali gus mengugat ketenteraman awam.

Katanya dakwaan kematian akibat pergaduhan antara kaum juga tidak wujud seperti yang digambarkan dalam berita di laman sosial dan pihak polis kini giat melakukan kawalan di daerah itu.

"Saya dah pantau keadaan di Sungai Petani dan saya lihat keadaan normal, masyarakat melakukan aktiviti harian dan kedai buka macam biasa. Tak ada kuil atau rumah ibadah lain terbakar seperti yang dilapor oleh blogger," kata Ahmad. - Bernama

JERAI : UCAPAN PENUH TPM DI PONDOK PAK YA #TUKARKEDAH




Dalam lawatan kerja YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kedah, YAB TPM telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Sekolah Agama Rakyat, Madrasah Tahfiz dan guru-guru pondok di Kedah untuk berbincang dan menawarkan kerjasama Kerajaan Malaysia bersama Sekolah Agama Rakyat di Kedah bagi di jadikanSekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan dengan tidak menganggu gugat identiti Sekolah Agama Rakyat yang telah di bangunkan pengasas-pengasas Sekolah Agama Rakyat dan Madrasah Tahfiz yang terdahulu.

Sebagai Sebuah Kerajaan yang mentadbir Negara, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf peranan yang di mainkan pengasas-pengasas Sekolah Agama Rakyat dan Madrasah Tahfiz di dalam mendidik dan mengembangkan syiar Islam di Malaysia secara mendalam.

Tujuan utama Kerajaan Malaysia menawarkan peluang kepada keseluruhan Sekolah Agama Rakyat di Malaysia di dalam menjadi Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan kewujudan Sekolah Agama Rakyat supaya berterusan.

Selain itu tujuan penawaran kepada Sekolah Agama Rakyat di dalam menjadi Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan adalah untuk memastikan masa depan pelajar-pelajar yang belajar di sekolah berkenaan agar mendapat keselesaan untuk belajar tentang Agama Islam dengan lebih mendalam lagi dan dapat menafaatkan ilmu yang di pelajari demi masa hadapan generasi Umat Islam yang akan datang.

Di dalam menjadi Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan peranan guru-guru yang berkhidmat di Sekolah Agama Rakyat akan di beri kebajikan melalui gaji dan pembiayaan yang setimpal supaya dapat menjaminkan kehidupan para guru yang berkhidmat di Sekolah Agama Rakyat yang sebelum ini bergantung kepada pendapatan Sekolah Agama Rakyat melalui bantuan dari ahli perniagaan dan individu tertentu.

YAB TPM berharap lebih banyak lagi Sekolah Agama Rakyat akan tampil untuk berkerjasama dengan Kerajaan Malaysia untuk menjadikan Sekolah Agama Rakyat sebagai Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan di dalam usaha Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada sistem pendidikan di Malaysia terutamanya pendidikan Agama Islam bagi Umat Islam.

- PISAU KEDAH , JERAI TV , AUPN , APJ 

JERAI : DI MANA PERANAN KERAJAAN KEDAH ATAS SEKOLAH PONDOK ?? - HAJI NAJIB




Satu pendedahan yang sebelum ini kita tidak mengetahui di mana Sekolah Agama Rakyat dan Madrasah Tahfiz langsung tidak pernah di bantu Kerajaan Negeri Kedah pentadbiran PAS walau pun dalam janji manifestor PAS di Kedah pada PRU 12, sekiranya Pakatan Haram Menang, PAS akan memperjuangkan pendidikan Islam kepada anak-anak di Kedah. Namun kini janji tinggal janji setelah menjadi pentadbir di Negeri.

Dahulu PAS Kedah sering mengatakan Kerajaan Negeri Kedah yang di tadbir BN merupakan Kerajaan Negeri yang Zalim terhadap Islam dan meminggirkan pembanguna Islam di Kedah, namun setelah menjadi pentadbir tiada satu pun usaha Kerajaan Negeri pentadbiran PAS membantu pembangunan Islam di Kedah, sebaliknya apa yang berlaku adalah penumbuhan pesat pusat-pusat maksiat di Kedah sehingga membimbangkan rakyat yang beragama Islam Kedah.

Semenjak menjadi pentadbir Kerajaan Negeri, PAS sering bermegah-megah mengatakan keuntungan Kerajaan Negeri berlipat kali ganda terutamanya dari hasil pembalakan.

Tapi ke mana perginya keuntung-keuntungan terbabit di gunakan untuk membantu rakyat di Kedah ?

Di mana sumbangan Kerajaan Negeri pentadbiran PAS di dalam membela dan membangunkan Islam di Kedah ?

- PISAU KEDAH , JERAITV , AUPN , APJ

Monday, 17 December 2012

UTARA NEWS : CAJ AIR, KEDAH TIADA IDEA CARI HASIL

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah semakin kekeringan idea dalam menjana hasil negeri apabila berhasrat mengenakan caj kepada pihak yang menggunakan sumber air dari sungai.

Selepas mengenakan caj air mentah kepada Pulau Pinang, kini kerajaan negeri berhasrat melakukan perkara sama kepada agensi kerajaan pusat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) selain syarikat dan kilang di Kedah, Pinang serta Perlis yang mengambil air dari sungai.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, sejak hari pertama pakatan Pas, PKR serta DAP mengambil alih negeri ini, mereka menyatakan akan memperoleh pendapatan melalui sumber air dan balak.

Beliau berkata, ini jelas menunjukkan kerajaan negeri hanya mampu memperoleh pendapatan menerusi sumber sedia ada dan ia satu kerugian kepada rakyat serta negeri kerana tiada penjanaan pendapatan baharu untuk melaksanakan pembangunan.

"Kita kerugian empat tahun, dan rakyat boleh bagi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk lonjakkan negeri ini setanding dengan negeri maju," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Seminar Pendidikan dan Hari Keluarga Sindrom Down Peringkat Kebangsaan 2012 di Hospital Sultanah Bahiyah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi baru-baru ini mengumumkan akan mengenakan caj air mentah kepada Mada bermula tahun depan selain mana-mana syarikat dan kilang di negeri ini, Perlis dan Pulau Pinang.

Mukhriz, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, Kedah mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan, antaranya, Kulim Hi-Tech Park serta mewujudkan hab getah yang mampu menarik pelabur asing ke negeri ini.

"Kita boleh bangunkan hab getah di kawasan seluas 16,000 hektar ladang getah. Kita boleh tarik industri yang berkaitan dengan getah untuk beroperasi di Kulim Hi-Tech," katanya.

Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan membenarkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Mukhriz berkata, ia satu perkembangan yang baik namun banyak perkara perlu dipertimbang terlebih dahulu.

Beliau berkata, setiap calon mesti memiliki kemampuan tersendiri, dan jika diseimbangkan pengalaman dengan idea baharu, mampu melahirkan kepimpinan yang terbaik.

"Kalau mereka tak ada pengalaman, tak jadi masalah, kerana kita boleh bagi pendedahan, dan jika kedua-dua elemen ini diseimbangkan, saya ingat ini yang terbaik," katanya.

Terdahulu, Mukhriz hadir pada Seminar Keluarga Sindrom Down Peringkat Kebangsaan 2012 yang dirasmikan Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Seramai 700 pesakit Sindrom Down dan anggota keluarga hadir bagi memeriahkan program itu, yang bermula hari ini dan berakhir Isnin.

Mukhriz, yang juga Penaung Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), berkata menerusi seminar itu, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa tersebut dapat melatih mereka agar bersedia menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Beliau menyeru kerajaan Persekutuan dan agensi terlibat agar memberi satu latihan khusus kepada golongan itu bagi membolehkan mereka memasuki alam pekerjaan.

"Ramai di kalangan mereka boleh bekerja jika diberi peluang. Kita lihat ada di kalangan mereka bekerja di restoran makanan segera, dan ini menunjukkan mereka berkeyakinan di samping dapat menambah pendapatan," katanya. - Bernama

UTARA NEWS : TANAH SURAU TIDAK DIWAKAFKAN

ALOR SETAR - Penduduk Kampung Tanjung Seri merayu pihak berkaitan meluluskan permohonan mewakafkan tanah persendirian milik Fatimah Othman menjadi hak milik Surau Tanjung Seri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Razali Lazim, 58, berkata, sudah beberapa kali permohonan dikemukakan, namun tiada maklum balas dari pihak berkaitan.

“Pada 11 September 2006, wakil penduduk kampung menghantar surat permohonan kepada Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Namun, permohonan ditolak dengan alasan sudah lewat.

“Selepas itu, pada 2010, kami sekali lagi mencuba nasib untuk mendapatkan kelulusan tanah wakaf terbabit, tetapi tiada maklum balas diterima,” katanya.

Razali berkata, kegagalan mendapat kelulusan itu mengakibatkan peruntukan sebanyak RM70,000 dari Kerajaan Persekutuan bagi membaiki surau yang semakin uzur tidak dapat diperoleh.

Menurutnya, dia kecewa kerana peruntukan sudah diperoleh tetapi disebabkan masalah tanah surau tidak berjaya diwakafkan maka penduduk kampung terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membaiki surau itu.

"Keadaan ini menyebabkan penduduk kampung terpaksa berputih mata sahaja kerana peruntukan yang diterima terpaksa dilepaskan kepada kampung lain," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau, Rossidah Ahmad, 48, berkata, sebelum ini, pemberian tanah wakaf itu dilakukan melalui percakapan sahaja oleh pemilik tanah berkenaan.

Katanya, wakil penduduk sudah melafazkan akad pemberian itu di bahagian Baitulmal, namun tiada maklum balas diterima.

"Jika kami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, kami akan cuba melengkapkan borang permohonan yang dihantar itu supaya permohonan itu diluluskan," katanya.

Ahli JKKKP Kampung Tanjung Seri, Osman Yusuf, 65, berkata, dia memohon pihak berkaitan meluluskan permohonan mewakafkan tanah itu dengan segera supaya mereka mudah mendapat bantuan.

Katanya, keadaan surau sudah usang, jadi banyak kos perlu dikeluarkan bagi membaiki keadaan surau itu.

"Hasil wang yang dikumpulkan penduduk kampung, mereka hanya mampu membaiki sebahagian kecil surau sahaja dan membina bahagian bawah surau yang tidak ada sebelum ini.

"Tingkat atas surau tidak dapat digunakan langsung oleh penduduk kerana lantainya yang semakin rapuh dan bumbung yang bocor," katanya.

Malah, katanya,tingkap hanya mampu ditampal dengan zink sahaja dan keadaan ini dikhuatiri mengundang bahaya pada penduduk yang menggunakan surau.

HIBURAN : ISU BAJU PDRM, FARID KAMIL KELUAR KENYATAAN MEDIA

Farid Kamil dan Diana Danielle


NAMA Farid Kamil menjadi bualan sepanjang minggu ini berkaitan uniform yang dipakainya ketika majlis resepsi perkahwinannya, dua minggu lalu.

Farid dikatakan menyalahi undang-undang kerana uniform yang ditempah khasnya itu menyerupai pakaian seragam pasukan keselamatan negara.

Setakat ini, masih belum ada sebarang penjelasan rasmi daripada pelakon dan juga pengarah itu.

Bagaimanapun, khabarnya Farid akan membuat kenyataan mengenai isu ini dalam masa terdekat.

HOT NEWS : PAKATAN PEMBANGKANG KELIRU !!!


SANDAKAN - Pakatan pembangkang disifatkan sebagai parti yang keliru dan tidak konsisten sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk menerajui negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia jelas terbukti berdasarkan simbol, manifesto dan dasar Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP yang berbeza selain tidak mempunyai semangat berpasukan.

"Lihat sahaja pada parti pembangkang, ada (simbol) bulan, ada roket dan mata satu tetapi tiada asas kepada bendera parti utama mereka dan dasar mereka.

"Dalam Barisan Nasional (BN), kita mempunyai satu simbol, satu manifesto, satu dasar dan satu pasukan yang jelas menunjukkan matlamat dan destinasi utama untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat pada masa depan," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Ke-23 Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini semalam.

SLOT HIBURAN : SRK MAHU SEPERTI TUN M



SRK mengaku dia mahu mempunyai pemikiran luar biasa seperti yang dimiliki oleh Tun Mahathir. Dia begitu mengagumi Tun Mahathir.


WALAUPUN sudah berusia 87 tahun, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi idola kebanyakan rakyat Malaysia. Jasa beliau selama 20 tahun mentadbir negara sentiasa dikenang oleh masyarakat.

Demi menghargai jasa Tun Mahathir yang merupakan salah seorang pelanggan setia butik mereka, Lord's Tailor telah mengadakan sebuah majlis ulang tahun yang dihadiri oleh 200 tetamu VVIP dan selebriti di Hotel Le Meridien, KL Sentral, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu.

Selain itu, pihak Lord's Tailor juga membuat kejutan kepada Tun Mahathir dengan membawakan aktor tersohor Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan sebagai 'hadiah' kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu.

Sementara menunggu kehadiran Shah Rukh Khan, majlis diserikan dengan persembahan penyanyi kegemaran Tun Mahathir, Datuk Yusni Hamid serta Amanda Imani dan seorang penyanyi India, Dr. Burns sebagai pembuka tirai majlis tersebut diiringi muzik Datuk Mokhzani Ismail.

Shah Rukh Khan yang tiba sejam selepas majlis bermula terus memberi penghormatan kepada Tun Mahathir dengan menyanyikan lagu Happy Birthday dan Kuch Kuch Hota Hai yang katanya khas buat mentornya itu.

“Saya amat mengagumi Tun Mahathir dan beliau merupakan mentor serta inspirasi terbaik buat diri saya.

“Sejak mengenali beliau 15 hingga 20 tahun lalu, saya sentiasa mencuba untuk mempunyai pemikiran luar biasa sepertinya dan mengikut falsafah yang dimiliki beliau.

“Mereka (Tun Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah) juga sangat sukakan saya, jadi saya tidak boleh menolak dan perlu juga berada di sini untuk menyambut majlis ulang tahun yang ke-87 beliau.

“Paling penting, saya juga mahu mengambil restu dari mentor yang juga rakan baik saya ini,” ujar bintang tersohor Bollywood yang mendapat gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka beberapa tahun lalu itu penuh teruja.

SRK mendendangkan lagu Kuch Kuch Hota Hai khusus buat Tun Mahathir.


Shah Rukh Khan yang juga digelar SRK membuka rahsia, setiap tahun, dia pasti tidak akan ketinggalan dan meluangkan masa untuk bertemu Tun Mahathir beberapa kali setahun.

Sementara itu, sepanjang majlis berlangsung, Tun Mahathir sentiasa mengukir senyuman dan kelihatan gembira.

Beliau juga amat berterima kasih di atas kehadiran aktor tersebut serta tetamu yang sudi hadir meraikan hari ulang tahunnya yang jatuh pada 10 Julai lepas.

“Terima kasih kepada Shah Rukh Khan yang sudi meluangkan masa terbang dari London untuk bersama-sama raikan majlis ulang tahun ini,” ujarnya.

Tun Mahathir kemudian secara berseloroh memberitahu: “Saya ingin berkongsi rahsia untuk sentiasa kekal muda. Sambutlah ulang tahun dua kali setahun seperti saya.

“Secara tidak langsung juga, anda akan dapat banyak hadiah dan saya berterima kasih kepada bapa saya kerana dia telah fikirkan perkara ini secara ke hadapan.”

Antara tetamu selebriti yang turut meraikan ulang tahun idola kesayangan ramai tersebut ialah Datin Paduka Umie Aida dan suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Esma Daniel dan isteri, Eja dan suami, Sofea Jane dan Fizz Fairuz.

lanjut : kosmo

Thursday, 13 December 2012

PANAS !!! DAP YAKIN SAPU 125 KERUSI PARLIMEN??


SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR), perikatan Pas, PKR dan DAP ada kemungkinan boleh memperoleh 125 kerusi Parlimen - majoriti tipis untuk membentuk kerajaan pusat, dengan tiada parti komponen yang akan mempunyai "kuasa hegemoni", demikan menurut pemimpin tertinggi DAP.

Ia antara senario yang diketengahkan ketika banyak analisis dan laporan mula memberi tumpuan berkenaan soal bilangan kerusi bakal diperoleh oleh parti-parti yang akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), akan berlangsung sebelum akhir Jun depan.

Tumpuan adalah ke atas perikatan Barisan Nasional (BN) dan PR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, dalam senario PR menang 125 kerusi, PKR boleh memperoleh sehingga 45 kerusi manakala DAP dan Pas masing-masing 40 kerusi.

Ia antara beberapa senario digambarkan oleh pemimpin veteran ini dalam tulisannya di blog beliau menjelang konvensyen tahunan DAP hujung minggu ini.

"Dalam analisis akhir, keputusan kemungkinan sama ada mengembalikan majoriti dua pertiga di Parlimen kepada Umno/BN, memberikan satu majoriti sekurang-kurangnya 74 kerusi di Dewan Rakyat atau PR menang sehingga 125 kerusi, dengan majoriti 28 kerusi mengatasi Umno/BN di Parlimen," kata Ahli Parlimen veteran ini.

Menjelas lanjut, Kit Siang berkata, dalam senario PR memperoleh 125 kerusi, dengan pengagihan 45:40:40, "ia satu perikatan dengan tiada parti yang mengamalkan hegemoni politik seperti yang terdapat dalam perikatan Barisan Nasional."

Sebelum ini, Sinar Harian Online ada membawa laporan bahawa BN boleh memperoleh sekurang-kurangnya 120 kerusi jika PRU13 diadakan sekarang. Malah ada penganalisis mengatakan bahawa kerusi BN di Parlimen kemungkinan menurun kepada 100.

Selain itu ada yang mengadakan BN tidak akan mengekalkan 140 kerusi yang dikuasai empat tahun lalu.

Pada PRU 2008, BN memperoleh 140 kerusi manakala parti-parti pembangkang 82.

Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN, ketika menutup Perhimpunan Agung Umno 1 Disember lalu berkata, BN boleh memperoleh majoriti dua pertiga jika tiada unsur sabotaj dalam Umno.

Beliau yang juga Presiden Umno akan mengetuai pilihan raya umum pertama sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac 2009.

Kit Siang berkata, sama ada PRU13 akan mencipta sejarah dengan perubahan kerajaan di Putrajata bergantung pada kemampuan PR untuk memikat 13 juta pengundi khususnya empat juta pengundi "pertengahan" atau yang dilabel sebagai pengundi atas pagar.

Daripada jumlah empat juta itu, tiga juta merupakan pengundi baru.

Dalam tulisannya, Kit Siang juga berharap Kongres Kebangsaan DAP ke-16 akan dijadikan medan mesej yang jelas dan terang kepada rakyat Malaysia bahawa pemimpin-pemimpin DAP, perwakilan dan ahli-ahlinya membawa wawasan dan komitmen untuk mencapai objektif kempen "Seratus Hari Menjelang Ke Putrajaya".

Bagaimanapun katanya, dalam politik pembohongan, kebencian dan ketakutan, pemimpin-pemimpin Umno dan MCA telah cuba untuk menyemai kebencian dan kebimbangan dengan menyebarkan mesej-mesej tidak bertanggungjawab dan bercanggah kepada kaum Melayu dan Cina bahawa jika PR menang, masing-masing komuniti akan ditekan oleh DAP dan Pas.

"Satu pembohongan jika mengatakan pemimpin-pemimpin DAP takut dengan pemimpin-pemimpin Pas, begitu juga pemimpin Pas takut kepadapemimpin-pemimpin DAP.

"Juga satu pembohongan (apabila mengatakan) orang Melayu atau Cina akan ditekan dalam kerajaan PR (kelak)," katanya sambil menambah, PKR, Pas dan DAP komited untuk mewakili kepentingan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

"Hubungan kami dalam PR, bersama PKR, adalah seimbang dengan menghormati satu sama lain," katanya sambil menegaskan, ia berbeza berbanding amalan "satu hala" dalam BN.

HAMAS LANTIK PRESIDEN KP1M SEBAGAI DUTA KEHORMAT PALESTIN


GAZA CITY - Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik oleh kerajaan Hamas sebagai 'duta kehormat' untuk Palestin.

Abdul Azeez yang mengetuai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Sabtu lalu, dilantik dalam satu upacara rasmi di Universiti Islam Gaza dan watikah
pelantikan disampaikan Ketua Pengarah Kementerian Luar Hamas, Mahmoud El-Hadour, semalam.

Pelantikan itu dimaklumkan sendiri kepada Abdul Azeez oleh Perdana Menteri Hamas Ismail Haniyeh berikutan persetujuan sebulat suara jemaah kabinet Hamas yang bermesyuarat selepas kunjungan hormat Abdul Azeez dan 58 anggota sukarelawan ke atas Ismail kelmarin.

"Saya bersyukur, ini semua kerana mereka menyanjung tinggi kepimpinan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan nama Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka sekian lama tidak lekang di bibir mereka, dan juga Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai perdana menteri terdahulu," katanya kepada pemberita.

Antara skop tugasan beliau sebagai duta kehormat seperti tertulis di watikah pelantikan itu ialah menyampai dan memperjuang nasib rakyat Palestin melalui program-program yang sesuai.

Menurut Abdul Azeez, berita baik itu telah disampaikan kepada Najib yang mengucapkan tahniah atas pengiktirafan itu.

"Insya-ALLAH bantuan susulan akan kami laksanakan dalam masa terdekat. Saya akan balik dan bertemu perdana menteri serta Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman) untuk minta pandangan dan nasihat bagaimana tindakan susulan boleh kita lakukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya segala perbezaan politik diketepikan dalam menjayakan misi bantuan kepada rakyat Palestin yang merupakan saudara sesama Islam.

Misi bantuan kemanusiaan anjuran KP1M dan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia yang membawa bantuan berjumlah US$1.5 juta (RM4.5 juta) itu berakhir hari ini di Gaza dan akan bergerak ke Kaherah, Mesir untuk menyampaikan bantuan di sana.

Semua anggota sukarelawan itu dijangka menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia malam esok. - Bernama

HIBURAN : USTAZ DON MUNGKIR JANJI ?? OPSS TERJAH !!!


Tidak dinafikan, nama pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 28, semakin meniti di bibir masyarakat.

Sejak muncul dengan program 30 Minit Ustaz Don di TV Alhijrah, ramai yang menyukai gaya penyampaian dakwahnya yang bersahaja.

Maka, tidak hairanlah ramai pihak ingin menjemput Ustaz Don di dalam program mereka bagi mendengar sendiri ceramah disampaikannya.

Bagaimanapun, Zass mendapat aduan daripada sumber yang mengatakan ikon baru dakwah ini telah memungkiri janji.

Menurut sumber itu, Ustaz Don sepatutnya menjayakan program anjuran sebuah jabatan di Kuala Lumpur, semalam, tetapi dibatalkan di saat akhir.

Sedangkan, kata persetujuan telah dicapai dan 300 tetamu sudah menanti tetapi bayang Ustaz Don tidak kelihatan.

Zass mendapatkan kenyataan daripada pihak Ustaz Don dan pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Mirza, tidak menafikan kejadian itu sememangnya berlaku.

Bagaimanapun, Mirza menjelaskan, Ustaz Don tidak terlibat dalam hal itu dan kesalahan berpunca daripadanya.

"Memang pada mulanya tarikh telah dipilih tetapi saya kemudiannya mendapati tarikh itu bertembung dengan komitmen lain.

"Saya cuba berhubung dengan penganjur dan memberitahu hal tersebut.

"Namun, saya tidak sedar telah tersilap menyalin nombor penganjur membuatkan mereka tidak mendapat makluman," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mirza, dia sudah pun meminta maaf kepada penganjur dan menjelaskan hal yang sebenar.

Ketika dihubungi Zass, Mirza berkata, Ustaz Don belum mengetahui kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Mirza menolak anggapan sesetengah pihak bahawa Ustaz Don sudah mula 'demand' dan mengenakan bayaran tertentu untuk menjemputnya.

"Ustaz Don masih sama seperti dulu. Dia sangat komited dengan dakwah dan tidak memikirkan mengenai bayaran.

"Saya harap dengan penjelasan ini akan membersihkan nama Ustaz Don kerana dia tidak bersalah," katanya.

Wednesday, 12 December 2012

PANAS : DBKL TIDAK HALAU ARTIS VETERAN YAHYA SULUNG DAN ISTERI


KUALA LUMPUR - Isteri Datuk Yahya Sulong, Datin Alisah Ali menafikan mereka dihalau keluar dari rumahnya di Flat Bandar Baru Sentul oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana gagal melunaskan sewa rumah sejak lapan bulan lalu.

Alisah (gambar kecil), 65, yang dihubungi Kosmo! semalam memberitahu, beliau tidak tahu bagaimana cerita mereka dihalau keluar dari rumah itu timbul.

"Bohong. DBKL tidak pernah halau saya walaupun saya dan suami gagal membayar sewa sebanyak RM800," tegasnya.

Sebuah laman portal semalam menyiarkan kononnya Alisah serta Yahya gagal membayar tunggakan sewa rumah selama lapan bulan sebanyak RM800 dan mereka telah diarahkan DBKL agar mengosongkan rumah mereka di flat Bandar Baru Sentul dekat sini.

Sumber : KOSMO

SUKAN : AFF SUZUKI MALAYSIA KEMUKAKAN BANTAHAN - LAYANAN KELAS KETIGA


Pemain kebangsaan menjalani latihan di sebuah padang awam yang kurang sempurna di Bangkok, semalam sebagai persediaan untuk separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF, esok.

BANGKOK - Belum pun berdepan ujian sebenar, Harimau Malaya menempuh dugaan awal daripada tuan rumah, Thailand untuk aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF esok, apabila diberikan layanan kurang memuaskan kerana terpaksa mengadakan sesi latihan di padang yang kurang sempurna.

Padang latihan yang disediakan bukan sahaja tidak rata, malahan tiang golnya juga patah.

Padang berkenaan turut digunakan orang awam untuk bermain bola sepak dan terletak bersebelahan laluan kereta api aliran ringan (LRT).

Suasana yang dihadapi pemain mengundang dukacita pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal kerana menganggap ia layanan kurang mesra ketika Malaysia merangka strategi untuk separuh akhir kedua dengan Thailand esok.

"Saya amat terkejut dengan layanan tuan rumah dan telah mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak ASEAN dan Persatuan Bola Sepak Thailand (FTT) mengenai padang latihan yang disediakan.

"Kami hanya diberikan padang awam yang turut digunakan oleh orang biasa. Keadaan rumput juga berbahaya untuk pemain menjalani latihan secara insentif kerana bimbang mendapat kecederaan.

"Ini menyukarkan jurulatih, Datuk K. Rajagobal melakukan perancangan taktikal petang ini kerana tempat latihan yang terlalu terbuka.

"Malahan kemudahan untuk menyalin baju pun tiada, cukup sedih apabila diberi layanan sebegini, seolah-olah tiada tanda rasa hormat kepada kami," katanya ketika ditemui di padang latihan Jalan Buraprat, di sini semalam.

Pada sesi latihan sulung itu, para pemain hanya mampu melakukan latihan ringan dengan penggunaan separuh padang sahaja ekoran digunakan oleh orang awam.

Malahan, kereta melalui tepi padang terbabit semasa latihan, yang menunjukkan padang itu memang tidak sesuai bagi latihan bagi sebuah pasukan bola sepak bertaraf kebangsaan.

Menurut Subahan, layanan tersebut memang tidak adil kerana semasa separuh akhir pertama di Kuala Lumpur, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan layanan sebaik mungkin kepada Thailand sebagai tetamu.

"Jika di Malaysia, kami boleh memberikan layan sebaiknya dengan hotel bertaraf lima bintang di samping kawalan keselamatan pihak polis sepanjang masa.

"Mereka juga mendapat kemudahan latihan secara tertutup di Kompleks Sukan Maybank, Bangi dan kita memenuhi segala keperluan yang dikehendaki.

"Namun, apabila kita sampai di sini... adakah kita mendapat layanan yang sama?," soalnya.

Perkara sama diluahkan Rajagobal yang tidak menjangka situasi itu berlaku dan berasa kecewa kerana tidak dapat menilai pemain yang baru pulih daripada kecederaan.

"Saya tidak boleh nafikan ini merupakan satu bentuk gangguan kepada persiapan kami tetapi tidak mahu fikirkan perkara ini terlalu serius, kita kena anggap ini satu cabaran sebelum berdepan Thailand," katanya

UTARA NEWS : CADANGAN 86 KAMERA AES DI KEDAH !! APA KATA AZIZAN ??



ALOR SETAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencadangkan akan memasang sebanyak 86 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Negeri Kedah.

Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, AES perlu dipasang di Kedah untuk mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.

Katanya, AES bukan untuk menzalimi, tetapi lebih kepada memantau dan mengawal pemandu jalan raya supaya mematuhi peraturan dan ikut akta pengangkutan jalan raya.

“Kita mencadangkan untuk pasang kamera AES di 60 lokasi mengesan kelajuan dan 26 lokasi untuk kesalahan melanggar lampu isyarat.

“Ini yang kita nak dan kesan baiknya kita dapat lihat di negara luar, di mana kadar kemalangan sudah menurun dengan banyak.

“Di Malaysia pun kita sudah tahu, kadar kemalangan dan kematian tinggi. Untuk itu, kita sasarkan kadar kemalangan setahun hanya dua kematian sahaja.

“Kita bukan minta kematian itu berlaku, tapi kita cuba kurangkan kadar kemalangan dan kematian,” katanya kepada pemberita selepas taklimat pelaksanaan AES di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, semalam.

Ahmad Musadad berkata, pemasangan kamera AES akan dilakukan di Kedah selepas isu ini kian reda bergantung kepada keadaan semasa.

“Sebenarnya kalau ikut masyarakat setempat, mereka minta kita pasang kamera AES ini cepat-cepat sebab mereka kata baik untuk orang ramai.

“Kerajaan Negeri pun setakat ini, saya cakap dengan pemimpin mereka katanya tidak salah, mereka sokong. Ini benda baik, apa salahnya.

“Bagaimanapun, saya belum terima apa-apa maklumat daripada Kerajaan Negeri yang membantah, belum ada. Kalau sudah jadi macam ini kita nak kata apa, kira sokonglah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri belum panggil saya mengemukakan bantahan terbabit,” katanya.

PAS KEDAH KENA HENTI AKTIVITI BALAK !!! - UMNO KEDAH

 Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR - Umno Kedah mendesak kerajaan negeri supaya menghentikan aktiviti pembalakan yang semakin berleluasa di negeri itu bagi mengelak bencana kepada rakyat pada masa hadapan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pembalakan secara 'cuci mangkuk' iaitu menebang semua pokok di Gunung Inas dan sekitar kawasan Tasik Pedu harus dihentikan segera.

"Kita jangan lupa tragedi Dipang di Perak pada 29 Ogos 1996 yang mengorbankan 39 nyawa. Kejadian itu berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal. Jangan kita biarkan tragedi itu berlaku di Kedah pula," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan negeri semalam kerana gagal mengawal pembalakan sehingga menyebabkan banjir di Sik baru-baru ini.

Katanya walaupun sudah banyak pihak membangkitkan kebimbangan tentang aktiviti pembalakan itu, kerajaan negeri masih gagal mengambil tindakan pencegahan, malah terus memberi pelbagai alasan bagi merasionalkan tindakan tersebut.

Ahmad Bashah berkata bukan hanya rakyat dan ahli politik malah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar serta pengkaji alam sekitar turut memberi amaran tentang bahaya melakukan pembalakan di kawasan berkenaan.

"Tetapi apa yang kerajaan negeri buat? Tiada apa tindakan pencegahan melainkan terus menebang balak atas nama Projek Ladang Rakyat dan pertanian," katanya.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, berkata BN Kedah menentang pembalakan itu bukan kerana iri hati mahupun menentang pembangunan untuk rakyat, tetapi hakikat yang berlaku ialah kerajaan negeri tidak mahu mempedulikan kebimbangan rakyat.

"Selalu saya tegaskan bahawa projek Ladang Rakyat dan projek pertanian itu hanyalah cara menghalalkan penerbangan balak," katanya sambil berharap kerajaan negeri tidak terus memekakkan telinga dengan suara rakyat.- Bernama

HOT KANTOI !!! PEROGOL PAKAI BEBOLA BESI PADA KEMALUAN ATAU TAYAM KANTOI !!!




KUALA LUMPUR – Keterangan seorang wanita Vietnam mengatakan dia terpegang satu objek keras pada kemaluan lelaki yang merogolnya ketika sesi kawad cam dapat mengheret pemuda itu ke muka pengadilan sekali gus membuatkan tertuduh mengaku salah atas tuduhan tersebut.

Mohamad Fadzlie M. Rosdi, 20, mengaku yang dia ada memasang bebola besi atau ‘tayam’ pada kemaluannya ketika merogol mangsa di sebuah rumah urut di Setapak di sini pada pukul 1 pagi 25 November lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Difahamkan, kawad cam itu dilakukan sebaik polis menahan Mohamad Fadzlie yang datang ke balai polis. Dia diserahkan oleh bapanya selepas gambar tertuduh yang dirakam kamera televisyen litar tertutup premis itu disiarkan akhbar.

Selain merogol, penganggur itu turut dituduh merompak premis tersebut bersama buruh kontrak, Mohd. Khairiell Idzham Hashimi, 21, dan dua lagi yang masih bebas menggunakan parang di tempat dan waktu yang sama.

HOT NEWS : KETUA WANITA MCA TERIMA SMS LUCAH



Jessie menunjukkan laporan polis yang dibuatnya kelmarin dan kandungan SMS berbaur lucah.


SELAYANG - Satu laporan polis dibuat kelmarin selepas kerap menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah.

Ketua Wanita MCA Cawangan Taman Selayang Jaya, Jessie Ooi mengakui mengalami sedikit trauma apabila beliau kerap menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah daripada individu tidak dikenali.

Menurutnya, beliau mula mendapat panggilan dan SMS lucah tersebut sejak Mei lalu namun kebelakangan ini gangguan tersebut semakin kerap sehingga menimbulkan kebimbangan ke atas diri dan keluarganya.

“Saya menerima gangguan daripada lima nombor telefon berbeza dan salah satunya pernah mengganggu lebih 20 kali sehari," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jessie tidak menolak kemungkinan pihak yang mengganggu terdiri penyokong tegar calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya akan datang atau individu yang sengaja menimbulkan provokasi.

“Salah seorang memaklumkan dia diarahkan oleh seseorang untuk mengganggu saya dan tidak takut apabila saya memaklumkan akan membuat laporan polis.

“Sebelum ini, permasalahan itu dibiarkan kerana terlalu sibuk dan menganggapnya sebagai senario politik tetapi kebelakangan ini semakin teruk menyebabkan saya perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, bimbang gangguan panggilan dan SMS lucah itu berlaku, satu laporan polis telah dibuat kelmarin bagi menjamin keselamatan diri dan memohon perlindungan daripada pihak berkuasa.

“Kesemua nombor tersebut telah diserahkan kepada polis dan berharap siasatan dapat dijalankan dengan mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab membuat gangguan,” katanya.